Site icon Sabah Baru News

Kekalkan identiti budaya warisan bangsa – Japlin

TERIMA: Japlin menerima cenderahati daripada Shamsuddin sambil diperhati Sabin sempena majlis itu.

KOTA KINABALU: Identiti warisan bangsa dan budaya masyarakat yang kaya perlu dipelihara bagi memastikan kelangsungan etnik peribumi kekal diketahui generasi baharu.

Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Samah Sabah Datuk Japlin Akim berkata, di samping usaha rancak membangunkan negeri, adat dan budaya juga penting.

Katanya, budaya adalah aspek penting dalam kehidupan yang melambangkan identiti sesuatu bangsa, suku kaum dan etnik untuk terus dipelihara dan dimartabatkan bagi kepentingan generasi akan datang.

“Perjuangan mempertahankan identiti harus diteruskan demi keperluan generasi akan datang dan mereka tidak boleh tunduk kepada kepuasan ini. Kita harus memelihara semuanya untuk generasi akan datang.

“Generasi muda perlu mempertahankan keunikan budaya yang ada sebagai teras kepada keharmonian kaum sejak dahulu lagi,” katanya.

Beliau juga berharap supaya persatuan itu dapat terus memelihara dan memartabatkan budaya serta mengekalkan semangat perpaduan dan keharmonian sesama masyarakat.

“Menerusi perpaduan dan kesatuan rakyat yang berbilang suku kaum dan etnik, kita akan dapat memacu transformasi pembangunan negeri ke tahap kejayaan yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Program Persembahan Kesenian dan Kebudayaan Pelbagai Etnik anjuran Persatuan Rumpun Bajau Samah cawangan Bandaraya Kota Kinabalu di sini, kelmarin.

Japlin berkata, program kesenian dan kebudayaan diadakan sejak 2022 dan tahun ini kali ketiga diadakan sebagai Pesta Kebudayaan pada bulan Februari.

“Di Kampung Unggun Jaya sudah ada Dewan Mini Bajau Samah untuk membuat program kebudayaan. 

“Sempena bulan kemerdekaan, program kesenian dan kebudayaan ini boleh dijadi contoh kepada pelancongan yang datang berkunjung ke Sabah terutama di Lintasan Deasoka” katanya.

Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Rumpun Bajau Samah cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, Shamsuddin Awang Aman; Timbalan Masri Mansor; Naib Pengerusi Mohd Syum Majid; Setiausaha Awang Ali; Bendahari, Johan Walit dan Ketua Penerangan, Madsa Awang Aman.

— TAMAT

Exit mobile version