Site icon Sabah Baru News

Saya bawa diri sebagai anak tempatan berkhidmat untuk rakyat setempat

PUTRAJAYA – Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak gentar meskipun berdepan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merebut kerusi P63 Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, sebagai negara mengamalkan demokrasi beliau sedia berdepan dengan sesiapa sahaja.

“Kalau PKR bawa Anwar sebagai bakal PM (Perdana Menteri), saya bawa diri sebagai anak tempatan yang berkhidmat untuk rakyat setempat.

“Tidak akan lari dan kekal di situ walaupun badai taufan melanda,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan penutup Forum Eksekutif Muda Global 2022 di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kesediaannya bagi mendepani Anwar yang menjadi calon di Tambun.

Ditanya mengenai kenyataan Anwar bahawa penyandang Ahli Parlimen Port Dickson itu bukan ‘orang luar’ Perak, Ahmad Faizal membalasnya dengan sinis.

“Ramai yang belajar di Amerika dan masuk Guantamao Bay tetapi tidak jadi rakyat Amerika… Akai (akal) ada?,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sikap sebenar Pakatan Harapan (PH) boleh dilihat menerusi keputusan parti itu menamakan calon dari parti bersekutu PKR.

“Pengalaman saya dalam PH macam itulah. Apabila duduk berbincang mengenai manifesto (sesuatu perkara) Amanah, PKR, BERSATU tidak setuju tetapi DAP memasukkan juga di dalamnya.

“Sekarang ini saya nampak perangai menamakan calon dari parti lain adalah tindakan untuk kepentingan diri dan PKR.

“Itu budaya dan kita tidak terkejut dengan sikap sedemikian,” katanya.

Selain Anwar, Ahmad Faizal juga dijangka turut berdepan dengan Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah sebagai calon BN.

Berita Bersatu

Exit mobile version