Site icon Sabah Baru News

Pembangkang cemburu dengan Gagasan Rakyat

PENGHARGAAN: Masiung (dua kanan) menerima cenderahati daripada Pengerusi PDM Zon Penangah, Willy Banah.

TONGOD: Pembentukan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang menerajui kerajaan negeri bukan sahaja digeruni lawan namun dasar baharu yang diperkenalkan kepada rakyat turut dicemburui pembangkang.

Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah menyifatkan pemimpin parti pembangkang di Sabah kini menemui jalan buntu mencari titik persamaan terpaksa menggunakan taktik kotor demi mencari kuasa yang hilang.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Penangah, semalam.

Sejumlah lebih 500 penyokong parti itu hadir di majlis berkenaan.

Katanya, kegagalan pemimpin pembangkang mencari kelemahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyebabkan beberapa pengikutnya terpaksa mencipta taktik kotor dan tidak beretika yang jelas mencerminkan budaya parti mereka.

“Apa yang kita nampak sekarang mereka terpaksa mencipta cerita kotor termasuk menyebarkan rakaman untuk memfitnah pemimpin yang menyukarkan modus operandi mereka.

“Pemimpin dan penyokong pembangkang yang pengecut ini terpaksa menabur fitnah kerana takut berhadapan dengan politik secara sihat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Jika mereka mempunyai bukti kukuh, mereka boleh menggunakan pihak berkuasa untuk mendakwa saya ke Mahkamah,” katanya.

Minggu lalu, polis menerima empat aduan berhubung penyebaran rakaman video berunsur fitnah yang mengaitkan nama Masiung dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Masiung mencabar pihak berkenaan supaya berdepan dengan beliau dalam perdebatan berhubung projek Kilang Klinker dan Simen di Tongod serta isu Rumah Pangsa Tanjung Aru di Kota Kinabalu.

Katanya, tidak salah bagi mereka bercita-cita mahu kembali berkuasa tapi biarlah berpolitik secara sihat.

Menurutnya, rakyat di luar sana tidak perlu dibohongi dengan fitnah kerana ramai kalangan rakyat lebih matang dan berpendidikan tinggi berbanding pemimpin yang suka menipu.

TAMAT

Exit mobile version