Site icon Sabah Baru News

Kerajaan luluskan RM1.5 juta kepada persatuan wanita di Sabah – Hajiji

Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk lr Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Sambutan Hari Hari Wanita peringkat negeri Sabah di sini pada Jumaat malam.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta kepada persatuan-persatuan wanita dan badan bukan kerajaan (NGO) wanita bagi melaksanakan lebih banyak program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada pembangunan wanita di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.


Beliau berkata, peruntukan itu juga sebagai tanda sokongan daripada kerajaan yang amat menghargai peranan dan sumbangan wanita secara keseluruhannya.

“Justeru, melihat kepada kepentingan peranan persatuan wanita, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada persatuan-persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) wanita di negeri ini, yang akan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).


“Saya berharap peruntukan dapat membantu persatuan wanita dalam melaksanakan program atau aktiviti yang memberi manfaat kepada wanita di seluruh negeri ini. Kita sememangnya memperakui betapa pentingnya peranan dan sumbangan kaum wanita
dalam apa jua bidang ke arah kemajuan dan pembangunan negara.


“Ini termasuklah dalam pembangunan institusi kekeluargaan, pendidikan, ekonomi dan pentadbiran serta arena politik,” katanya sempena Majlis Sambutan Hari Hari Wanita peringkat negeri Sabah di sini pada Jumaat malam.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk lr Shahelmey Yahya.


Katanya, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM6.36 juta kepada JHEWA dan RM700,000.00 kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), pada tahun ini bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita.


“Justeru, saya mahu MPWS sebagai badan pemikir dan penasihat berhubung hal ehwal wanita, akan lebih agresif dan proaktif dalam menyumbangkan buah fikiran dan idea baharu, ke arah memperkasakan lagi penyertaan dan pembangunan kaum wanita di Sabah.

“Sementara itu, JHEWA sebagai agensi kerajaan negeri yang dipertanggungjawabkan menangani hal ehwal wanita, diharapkan terus melaksanakan program pembangunan wanita secara efektif dan efisien menepati sasaran dan perancangan,” katanya.


Beliau berkata ramai dalam kalangan wanita pada hari ini sudah seiring dengan pencapaian golongan lelaki, termasuk berjawatan tinggi dalam pasukan keselamatan negara; jawatan yang suatu ketika dahulu hanya dimonopoli oleh lelaki.


“Tidak kurang juga ramai yang menjadi doktor, peguam, jurutera, termasuklah menceburi kerjaya sebagai juruterbang dan angkasawan. Ini jelas membuktikan bahawa wanita juga adalah pemangkin kepada kecemerlangan negara, selaras dengan aspirasi Masyarakat Madani.


“Dalam konteks negeri Sabah, kita sentiasa menyokong dan mengiktiraf golongan wanita untuk menyertai kumpulan pembuat dasar atau pembuat keputusan. Setakat ini, kita mempunyai beberapa wanita yang menyandang jawatan tertinggi termasuk dalam Kabinet negeri selain mengetuai atau menerajui sektor awam serta swasta.


“Saya percaya lebih ramai lagi golongan wanita akan menjadi peneraju atau ketua dalam sektor awam mahu pun swasta pada masa hadapan,” katanya.

–Tamat

Exit mobile version