Site icon Sabah Baru News

Gagasan Rakyat Zon 12 semakin kukuh, diterima rakyat

HADIR: Nizam bergambar bersama pimpinan Gagasan Rakyat Zon 12 dan penduduk Tanjung Batu Laut.

TAWAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) semakin mendapat sokongan rakyat menerusi peningkatan bilangan ahli yang masuk menyertai parti ini.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Pusat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Gagasan Rakyat sudah menjadi parti tempatan yang paling popular dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Katanya, sudah tiba masanya rakyat perlu bersatu dalam satu parti tempatan yang ikhlas menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan negeri Sabah.

“Kita sudah berada dalam landasan yang betul kerana sejak kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) GRS-PH Plus memerintah banyak perubahan positif dapat dirasai oleh rakyat.

“Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sudah menunjukkan kemampuannya menjaga hak-hak rakyat di Sabah dengan cemerlang,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penyelaras Gagasan Rakyat Zon 12 berkata demikian ketika ditemui dalam Program Merakyatkan Seni Budaya, di Tanjung Batu Laut, di sini, semalam.

Nizam berkata, Gagasan Rakyat akan kekal memerintah negeri Sabah kerana sokongan padu dan keyakinan yang ditunjukkan oleh rakyat ketika ini semakin bertambah.

“Saya yakin rakyat akan memberikan sokongan dan kepercayaan kepada Gagasan Rakyat untuk memimpin Sabah ke arah yang lebih cemerlang,” katanya.

Mengulas mengenai pelantikan sebagai Ketua Penyelaras Zon 12, katanya, ia adalah satu tanggungjawab besar bagi memastikan semua bahagian parti Gagasan Rakyat di parlimen Tawau dan Kalabakan sentiasa diterima rakyat.

Katanya, zon 12 meliputi bahagian Apas, Balung, Sri Tanjung, Tanjung Batu, Kukusan, Merotai dan Sebatik.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Gagasan Rakyat kerana telah memberikan kepercayaan untuk menyelaras zon 12 ini.

“Kerjasama dalam kalangan pimpinan zon 12 berada dalam keadaan baik dan kita telah memperkemaskan jentera pilihan raya bagi memastikan semua calon menang di bahagian masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tanjung Batu Datuk Abdul Muis Picho berkata, jenteranya sudah bersiap sedia dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.

Katanya, kerja-kerja turun padang berjumpa rakyat sudah kerap dijalankan dan usaha menarik lebih ramai ahli juga sedang giat dilakukan.

“Saya memang akan selalu turun padang menyantuni rakyat dan bersedia bertanding sekiranya dicalonkan oleh pucuk pimpinan.

“Namun, saya tetap akan menyokong semua calon yang akan dipilih sekiranya tidak dicalonkan oleh pucuk pimpinan terutamanya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version