Site icon Sabah Baru News

Kembara 2024 semarak silaturahim pemimpin dan rakyat

SUMBANGAN: Juhar dan Toh Puan Norlidah R.M Jasni menyampaikan sumbangan kepada 100 asnaf di Masjid Sahabat Sindumin-Merapok.

SIPITANG: Program Kembara 2024 berupaya menyemarakkan lagi silaturahim di antara pemimpin dengan rakyat.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata program bersempena dengan Hari Jadi Rasmi Ke-71 Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin itu juga merupakan platform untuk menanamkan kemesraan serta semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat.

“Saya teruja hari ini dengan kehadiran  Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan hadir  bersama rombongan konvoi bermotorsikal dan inilah yang memberikan kita titik semangat dan kaedah terbaik bagi Tun untuk bermesra dengan rakyat khususnya di kawasan Sipitang. 

“Dengan turun padang ini, membuktikan Tun dan Toh Puan prihatin dan sayang kepada rakyat bukan sahaja masyarakat Sipitang tetapi juga seluruh Sabah. 

“Jadi, kita mengharapkan silaturahim ini terus berkekalan sebegini sebagai tanda yang kita ini hidup dalam keadaan yang penuh dengan kemesraan dan semangat kekitaan yang harus kita tanam dalam sanubari,” katanya.

Sementara itu, ADUN Sipitang, Datuk Dr Yusof Yacob pula menyatakan pemilihan Sipitang sebagai lokasi program memberi manfaat kepada usaha mempromosikan daerah terlibat sebagai destinasi pelancongan di Sabah.

“Program sebegini memberi erti yang besar kepada rombongan lebih 300 peserta dan mereka bermalam di Sipitang sudah tentu akan menyemarakkan lagi ekonomi Sipitang.

“Sebagaimana yang kita dimaklumkan semua hotel motel penuh, semua restoran ada langganan terutama sate di Esplanade yang memberi peluang kepada peniaga menambah pendapatan.

“Saya berterima kasih atas usaha ini dan semoga banyak lagi acara seperti ini pada masa akan datang. 

“Sebagai ADUN, saya mengalu-alukan dan minta rakyat di Sindumin ambil peluang kerana kebetulan pada masa ini masih lagi musim buah durian. rambutan. langsat, kembayau, buah-buahan tempatan yang cukup baik untuk dipromosikan,” katanya.

Kembara 2024 bermula di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah pada Sabtu disertai lebih 150 buah motorsikal dengan jarak perjalanan 310km hingga ke sempadan Sindumin-Merapok.

Konvoi singgah di Pekan Beaufort, sebelum membuat dua hentian di Masjid Imam Hashim untuk merasmikan bilik kenamaan di masjid berkenaan dan Masjid Sahabat bagi merasmikan masjid serta menyampaikan sumbangan Yayasan Nur Jauhar (YNJ) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) kepada 100 orang asnaf.

Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA), Datuk Seri Hazani Ghazali; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam dan Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.

TAMAT

Exit mobile version