Site icon Sabah Baru News

Swasta, NGO perlu mainkan peranan tingkatkan semangat patriotik – Nizam

PELEPASAN: Nizam (empat kanan) ketika membuat pelepasan kenderaan dalam program berkenaan.

TAWAU: Swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan bagi membantu menaikkan semangat patriotik rakyat dengan melaksanakan program-program kemerdekaan setiap tahun.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, setiap rakyat di negara ini perlu mempunyai rasa kecintaan kepada negara dan menghargai nikmat kemerdekaan.

Katanya, merdeka daripada penjajahan adalah satu nikmat yang perlu disyukuri oleh setiap rakyat di negara ini kerana ia lahir daripada titisan keringat dan darah pejuang kemerdekaan terdahulu.

“Semua pihak perlu memainkan peranan untuk melaksanakan pelbagai program-program yang berunsurkan patriotik sebagai tanda kecintaan dan kesyukuran kita kepada nikmat kemerdekaan ini.

“Justeru, mereka yang mempunyai kemampuan diminta supaya bersama kerajaan menganjurkan pelbagai program dalam usaha meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui selepas membuat pelepasan kenderaan ‘Tawau 4×4 Merdeka Challenge 2024’, di sini semalam.

Menurutnya, tahun ini adalah sangat istimewa kerana seluruh rakyat di negeri ini dapat meraikan sambutan berganda iaitu Hari Kebangsaan dan Hari Sabah secara serentak.

“Hari Sabah julung kali diadakan bagi memberi kesedaran bahawa sebenarnya negeri kita telah bebas daripada penjajahan sejak 31 Ogos 1963 lalu.

“Pewartaan Hari Sabah ini adalah atas inisiatif kerajaan negeri yang mahukan semua rakyat di sini sentiasa mengingati tarikh keramat kemerdekaan rakyat Sabah,” katanya.

Mengulas mengenai program ini, Nizam berkata, ia adalah satu inisiatif yang baik dilakukan oleh pihak swasta dan NGO dalam melahirkan semangat kecintaan kepada negara.

“Semangat sebegini sangat diperlukan supaya rakyat yang berbilang kaum dan agama ini sentiasa bersatu untuk memastikan negara kita aman, makmur dan sejahtera.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Gabungan Persatuan Belia Tawau dan Institut Memandu Dayacara kerana menganjurkan program ini,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 70 buah kenderaan terdiri daripada kelab-kelab pacuan empat roda di seluruh Sabah dan Semenanjung terlibat menjayakan program berkenaan.

–Hamzah Sanudin

Exit mobile version