Site icon Sabah Baru News

Harapan Rakyat komited bantu rakan GRS santuni rakyat

CENDERA KENANGAN: Liew (tiga kiri) menerima cendera kenangan daripada penganjur.

TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) komited membantu semua parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyantuni masyarakat terutamanya di daerah Tawau dan Kalabakan.

Presiden Parti Harapan Rakyat, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, pihaknya ikhlas turun padang membantu rakyat dan tidak berniat untuk mengganggu pemimpin atau pentadbiran di kawasan lain.

Katanya, sebagai rakan dalam GRS sudah tentu mahu melihat parti gabungan ini kuat dan bekerjasama turun padang membantu dan serta menyantuni rakyat.

“Kalau dulu saya sebagai wakil rakyat hanya tertumpu dengan satu tempat sahaja, tetapi kini kami mewakili satu parti dalam kerajaan negeri dan sememangnya perlu turun di kawasan lain juga.

“Justeru, saya berharap pemimpin dan rakan seperjuangan lain tidak rasa tergugat dengan kehadiran kami kerana peranan Harapan Rakyat hanya membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Beliau yang juga Naib Pengerusi GRS berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Merdeka 2024 ‘Pahlawan Tegar Merdeka’, di sini pada Jumaat.

PRIHATIN: Liew menyampaikan bendera Jalur Gemilang dan Sabah kepada warga tua yang hadir dalam karnival berkenaan.

Menurutnya, Harapan Rakyat juga akan terus memberikan penerangan mengenai hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dibawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

“Masih ramai lagi rakyat kurang mengetahui hala tuju SMJ dan tidak mendapat maklumat mengenai bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan GRS.

“Selain menghantar bantuan kepada golongan memerlukan di pelusuk kampung-kampung, kami juga turut bertanggungjawab mewar-warkan dasar serta hala tuju kerajaan negeri,” katanya.

Liew berkata, kerajaan GRS adalah sebuah kerajaan yang telus dalam bekerja serta memberi fokus terhadap pembangunan rakyat dan ekonomi Sabah.

“Kita tidak perlu keluarkan kenyataan atau melayan karenah sesetengah pemimpin yang cuba manipulasi kejayaan kerajaan GRS kerana rakyat boleh merasai sendiri perubahan positif yang mereka alami,” kataya.

MODAL INSAN: Liew bersama kanak-kanak yang memakai pakaian patriotik dan membuat persembahan pada karnival berkenaan.

Mengulas mengenai karnival ini, katanya, ia dilihat berjaya membentuk perpaduan serta kesatuan masyarakat berbilang kaum di daerah ini.

Katanya, perpaduan adalah tunjang utama kepada kejayaan negara kerana ia menggambarkan kebebasan rakyat daripada elemen negatif, semangat patriotisme dan cintakan negara.

“Jiwa merdeka melambangkan kesejahteraan secara menyeluruh dan menekankan kemajuan dalam masyarakat pelbagai kaum, bersatu hati dan teguh jati diri sebagai rakyat Malaysia.

“Saya menyeru kepada penganjur karnival ini supaya kerap melaksanakan program-program sebegini dan kami sebagai pemimpin parti akan terus memberikan sokongan yang sewajarnya,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version