Site icon Sabah Baru News

Gagasan Rakyat Bahagian Darau sudah bersedia

ALBUM: Razali menyampaikan cenderakenangan kepada Timbalan Presiden Gagasan Rakyat Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun ketika dalam majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau sudah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN) dijangka akan diadakan pada bila-bila masa.

Ketuanya, Datuk Mohamad Razali Razi berkata, pihaknya sudah membuat persiapan awal termasuk mengadakan beberapa siri mesyuarat berkaitan gerak kerja jentera untuk berhadapan dengan PRN nanti.

Katanya, pihaknya juga sudah mempunyai banyak pengalaman dalam menghadapi beberapa siri pilihan raya lalu sekali gus dilihat ia merupakan satu kelebihan dan memudahkan segala persiapan bila tiba masanya.

“Kita bersyukur kerana rakyat di DUN Darau menerima Gagasan Rakyat, inilah yang sangat penting. Dari segi mental dan fizikal bahagian Darau ini rasanya sudah bersiap ke arah PRN.

“Kita hanya menunggu loceng sahaja dibunyikan kemudian Gagasan Rakyat di DUN Darau akan turun serta bersiap sedia bertempur dalam PRN ini nanti,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai Mesyuarat Perwakilan Tahunan Bahagian Darau, Mohamad Razali berkata, kehadiran begitu ramai sehingga 800 orang perwakilan menunjukkan Gagasan Rakyat sentiasa bersatu padu sekali gus bersiap sedia menghadapi PRN Sabah.

“Gagasan Rakyat kini juga fokus kepada bagaimana untuk mendapatkan tempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau termasuk memastikan rakyat bersiap sedia menerima perubahan kelak.

“Kita komited untuk memastikan parti Gagasan Rakyat ini releven serta gerak kerja selama ini boleh diterima oleh rakyat khususnya di kawasan Darau ini,” katanya.

Hadir sama, Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Bahagian Darau, Datuk Zaitun Kassim dan Naib Ketua Parti Gagasan Rakyat Bahagian Darau, Ramlan Awal.

TAMAT

Exit mobile version