Site icon Sabah Baru News

Sabah tubuh Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan

MESYUARAT: Hajiji ketika mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di Menara Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Sabah (JKKSK) dan Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu penduduk Sabah tanpa dokumen pengenalan diri.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kabinet negeri dalam mesyuarat hari ini meluluskan penubuhan JKKSK untuk memeriksa, mengesahkan, menyelaras, dan membantu dalam mempercepatkan permohonan baharu serta yang tertunggak berkaitan isu kewarganegaraan di bawah Artikel 15A Perlembagaan Persekutuan di negeri ini.

Katanya, JKKSK akan diberi tanggungjawab untuk mengesyorkan pendaftaran kanak-kanak dan sesiapa yang berumur bawah 21 tahun sebagai warganegara tertakluk kepada Artikel 18 Perlembagaan Persekutuan-Peruntukan Am Tentang Pendaftaran.

“Keputusan untuk menubuhkan jawatankuasa khas ini adalah disebabkan oleh kes-kes meluas kanak-kanak yang dilahirkan di Sabah tanpa dokumen dan kad pengenalan (IC) yang menyebabkan mereka menghadapi masalah seperti pergi ke sekolah. Selalunya, perkara ini disebabkan oleh kecuaian ibu bapa mereka,” katanya pada mesyuarat pasca-kabinet di Jabatan Ketua Menteri di sini hari ini.

Menurutnya, JKKSK akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah manakala Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah dan Bahagian Pendaftaran Negara dan Pertubuhan, Kementerian Dalam Negeri akan bertindak sebagai setiausaha bersama.

Hajiji berkata, semua permohonan berkenaan perkara itu akan disaring dan disyorkan kepada Jawatankuasa Khas oleh JKKSK-Panel Sabah, yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah.

Beliau berkata, bagi Pasukan Petugas Khas untuk menangani isu penduduk Sabah tanpa dokumen pengenalan diri, ia akan diletakkan di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS), yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri.

Pasukan Petugas Khas yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri bertujuan menyelesaikan masalah berterusan orang tanpa dokumen di negeri ini.

— TAMAT

Exit mobile version