Site icon Sabah Baru News

Kerajaan komited lahirkan belia berilmu, kemahiran, kepemimpinan

Menurut Hajiji, ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi penting untuk menyokong peralihan sektor ekonomi ke arah aktiviti berasaskan pengetahuan, teknologi dan inovasi.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited kepada pembangunan belia di negeri ini dalam usaha melahirkan generasi muda yang mempunyai kualiti ilmu, kemahiran dan kepemimpinan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.


Katanya, pembangunan modal insan termasuk belia adalah pemacu signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.


Menurutnya,ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi penting untuk menyokong peralihan sektor ekonomi ke arah aktiviti berasaskan pengetahuan, teknologi dan inovasi.


“Sebab itu sebanyak RM100.17 juta diperuntukkan pada tahun ini untuk perbelanjaan mengurus serta pembangunan belia dan kemajuan sukan di Sabah.


“Daripada jumlah itu, sebanyak RM16.89 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan yang menjurus kepada pemerkasaan belia bagi mencapai kesejahteraan sosioekonomi sejajar dengan Dasar Belia Sabah”, katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke 40 Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) Cawangan Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Sabtu.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin. Hajiji berkata, golongan belia merupakan tenaga penggerak dalam pelbagai bidang termasuklah berkaitan politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.


“Memandangkan peranan penting belia dalam pembangunan negara dan negeri serta sebagai bakal pemimpin pada masa hadapan, usaha bagi mewujudkan organisasi belia yang mantap dan sistematik amatlah diperlukan. Justeru, YMM memainkan peranan penting bersama-sama kerajaan dalam pembangunan belia di negeri ini”, tegasnya.


Beliau berharap YMM Sabah akan membuka lebih ruang untuk menggalakkan lebih ramai golongan belia daripada berbilang kaum menyertai pertubuhan ini, termasuklah menyantuni golongan itu di kawasan luar bandar dan pinggir bandar menerusi program
jangkauan luar (outreach).

TAMAT

Exit mobile version