Site icon Sabah Baru News

Sabah antara penyumbang enam teratas KDNK Malaysia 2023

ALBUM: Hajiji (tengah) ketika dalam majlis ESTCON di sini, semalam.

KOTA KINABALU: Rekod pendapatan Sabah sebanyak RM7 bilion pada tahun lalu menjadikan negeri ini antara enam negeri penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia 2023.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, angka yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Julai menunjukkan Sabah menyumbang sebanyak 5.5 peratus kepada KDNK negara tahun lalu.

“Bersama-sama dengan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang…Sabah menyumbang 73 peratus kepada ekonomi negara.

“Pada tahun lepas sahaja, Sabah menerima pelaburan sebanyak RM11.34 bilion, yang merupakan ketujuh tertinggi di Malaysia, dengan 13.3 peratus diperolehi daripada sektor pembuatan,” katanya ketika Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia ke-8 (ESTCON) di sini hari ini.

Dianjurkan oleh Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan PETRONAS, Sabah menjadi tuan rumah ESTCON buat kali pertama dengan lebih 1,000 peserta dari 25 negara.

Sementara itu, Hajiji berkata, Sabah wajib mempunyai institusi pendidikan tinggi berkualiti untuk menyediakan pelajar cemerlang dan  berkelayakan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, kerajaan negeri telah menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar sekolah terlibat dalam aliran sains menjelang tahun depan.

Beliau berkata, bagi generasi muda memimpin kemajuan negeri pada masa hadapan, ia memerlukan usaha kolektif bukan sahaja daripada kerajaan negeri tetapi juga semua pihak berkepentingan untuk terus menyokong dan membantu belia dalam setiap aspek pembangunan mereka.

“Kerajaan negeri sedar adalah penting untuk menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti kepada golongan muda. Lebih-lebih lagi pada masa kini, apabila sains dan teknologi menjadi pemacu utama kemajuan.

“Penting bahawa sebahagian besar jumlah pelajar di Sabah terlibat dalam pendidikan STEM.

INOVASI: Hajiji ketika meninjau teknologi yang dipamerkan dalam majlis berkenaan.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri telah menyediakan Rancangan Strategik 2022-2025 sebagai panduan untuk melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi memperkasakan ekosistem sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) di Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, mengenai inisiatif pendigitalan, Sabah sedang berusaha ke arah ekonomi digital yang berkembang pesat dan mempercepatkan inisiatif transformasi digital di Sabah.

“Pada November tahun lalu, kerajaan Sabah menandatangani perjanjian dengan Huawei Technologies Malaysia di Ibu Pejabat Huawei di Shenzhen, China yang bertujuan memperkasakan negeri kita dan rakyatnya. Ia bagi meraih manfaat daripada inovasi teknologi, merangsang pertumbuhan ekonomi dan perkhidmatan awam yang lebih baik.

“Ini termasuk dalam sektor pertanian, pembuatan pintar dibawah Industri 4.0, pelancongan, perancangan bandar pintar, e-dagang, infrastruktur digital, kesalinghubungan inklusif dan kerajaan digital. 

“Usaha kolaboratif ini akan merangkumi pelaksanaan perkhidmatan digital yang sedia berasaskan kecerdasan buatan (AI), data untuk kerajaan, perniagaan dan masyarakat,” katanya.

Hajiji berkata, dibawah inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kerajaan negeri telah melancarkan Digital Internet of Things (IoT) Sandbox pada 2022 sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan.

“Ia menyediakan persekitaran kondusif untuk usahawan dan inovator digital mencipta produk mereka dan menguji kebolehlaksanaannya. Kami melihat kuasa transformasi teknologi digital dalam sektor seperti pertanian, perlombongan dan pelancongan,” katanya.

Hajiji turut berkata, Sabah melabur secara besar-besaran dalam sektor tenaga yang merangkumi sumber tradisional seperti bahan api fosil dan tenaga boleh diperbaharui yang sedang diusahakan seperti tenaga solar dan angin.

“Dengan melabur dalam sektor tenaga, kami akan memastikan bekalan kuasa berkekalan, di samping menyumbang kepada masa depan tenaga yang lebih mampan. 

“Walaupun minyak dan gas akan menyediakan aliran pendapatan yang penting bagi negeri ini, tumpuan akan diberikan kepada tenaga boleh diperbaharui seperti teknologi solar dan penyimpanan, hidro, geoterma dan peluang pasaran karbon di Sabah,” katanya.

Hajiji memberi jaminan bahawa Sabah akan terus membangunkan infrastruktur tenaga yang penting, mengurus sumber untuk mengekalkan pertumbuhan.

“Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (Sabah Energy RAMP 2040) yang dilancarkan tahun lalu akan secara strategik membimbing masa depan kita. 

“Tetapi kejayaannya memerlukan sokongan penuh daripada kedua-dua pihak awam dan swasta untuk memacu Sabah ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version