Site icon Sabah Baru News

Gagasan Rakyat Tanjong Kapor komited laksana perkongsian kuasa dan politik adil

Mesyuarat Tahunan Bahagian N4 Tanjong Kapor .

KUDAT: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjong Kapor di sini berjanji untuk mengamalkan keadilan dalam perkongsian kuasa dan pelantikan politik dalam kalangan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) di sini.

Ketua bahagiannya, Ben Chong berjanji akan menjaga kepentingan dan kesejahteraan Gagasan Rakyat Tanjong Kapor di sini, di samping parti komponen GRS dan PH.

“Saya akan mengamalkan keadilan dalam perkongsian kuasa kalangan kita dan pelantikan politik akan dibahagikan sama rata, berdasarkan bakat dan kelayakan yang dimiliki oleh mereka.

“Ini kerana saya menganggap semua sebagai satu keluarga besar dan saya akan sentiasa menghormati dan bekerjasama dengan pemimpin parti komponen GRS dan PH di sini. Malah, ada pemimpin parti di sini yang lebih arif dan berpengalaman daripada saya.

“Menjaga keperluan, kepentingan dan kebajikan mereka adalah penting untuk mengukuhkan perpaduan dan kerjasama kerana semangat sihat seperti ini akan menjadi tonggak kekuatan kita dan faktor kemenangan kita pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

“Seperti pepatah ‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” kata Ben.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada mesyuarat agung tahunan Gagasan Rakyat Tanjong Kapor yang dirasmikan oleh Naib Presiden Gagasan Rakyat Sabah Datuk Masiung Banah di Dewan Tun Mustapha, di sini, baru-baru ini.

Kira-kira 600 perwakilan Gagasan Rakyat Tanjong Kapor dan pemimpin atau wakil parti komponen GRS hadir sama.

Ben turut menerima 289 borang keahlian baharu daripada Kimihang Laut, Tai Cheong 1, Pinorat Darat, Tampakan, Tai Cheong, Landung Ayang Jambatan 5, dan Sungai Kapit 1.

Selama enam tahun beliau menjadi wakil rakyat, Adun Tanjong Kapor itu berkata beliau tidak pernah menolak permintaan seseorang berdasarkan latar belakang politik yang berbeza, atau yang tidak seagama atau sebangsa dengannya kerana beliau mewakili semua rakyat di sini.

Ben turut mengingatkan perwakilan mengenai Pilihan Raya Sabah ke-17 (PRN17) akan datang yang akan berlangsung tidak lama lagi, selewatnya tahun depan.

“Saya juga berjanji bahawa kami dari Gagasan Rakyat Tanjung Kapor akan memberikan sokongan penuh kepada calon yang dipilih pucuk pimpinan.

“Saya juga ingin menyeru dan meminta semua pemimpin dan ahli daripada parti komponen GRS dan PH membantu sesiapa sahaja yang terpilih daripada kalangan kita.

“Sebab yang paling penting bukanlah diri kita sebagai individu, tetapi perjuangan kita untuk seluruh rakyat di Kudat yang perlu kita utamakan demi kesejahteraan dan kemakmuran kita bersama,“Dengan perpaduan dan kerjasama erat antara semua parti komponen di Kudat, saya yakin kita mampu mencapai kemenangan pada PRN17 tanpa mengira siapa calon di pihak lawan, dan seterusnya menyumbang satu kerusi kepada GRS-PH bagi membentuk kerajaan negeri sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, Ben mengulangi gesaannya kepada perwakilan bahawa mereka mesti bekerjasama, menghormati satu sama lain dan tidak menjadi angkuh.

“Boleh berdebat dan berhujah, tetapi jangan tikam dari belakang (mengkhianati),” katanya.

Bercakap kepada pemberita pada majlis itu, Ben berkata Gagasan Rakyat Tanjong Kapor mempunyai kira-kira 10,000 ahli dan 150 cawangan.

“Terdapat penurunan besar dalam ahli Warisan (parti pembangkang) di sini apabila saya meninggalkan parti (Warisan) pada Februari tahun lepas. Ramai yang mengikuti saya. Tidak ramai yang tinggal di bahagian Warisan Tanjong Kapor.

“Daripada 33,000 pengundi di Tanjong Kapor, belia membentuk lebih 50 peratus dan mereka adalah pengundi penting.“Justeru, kami menganjurkan banyak program dan aktiviti untuk menarik minat belia di Tanjong Kapor,” katanya.

Menjawab soalan, Ben berkata beliau tidak pasti sama ada beliau akan menjadi calon Tanjong Kapor pada PRN17 kerana masih terlalu awal untuk menyatakannya.

“Namun begitu, sesiapa sahaja yang terpilih, kita akan bekerjasama untuk memastikan kemenangan calon yang dipilih di Tanjong Kapor,” katanya.

— Hayati Dzulkifli

Exit mobile version