Site icon Sabah Baru News

‘Ilmu pengetahuan bekalan penting dalam persediaan menghadapi PRN’ – Emmie

Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Sabah, Emmie Datuk Martin Idang (tujuh dari kiri) berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Sayap-Sayap Gagasan Rakyat Kapayan 2024 pada Sabtu di sini.

PENAMPANG: Pergerakan sayap- sayap Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diseru untuk mendalami mempunyai ilmu pengetahuan yang luas untuk dijadikan  sebagai ‘bekalan’ terpenting dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Sabah, Emmie Datuk Martin Idang berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Sayap-Sayap Gagasan Rakyat Kapayan 2024 pada Sabtu di sini.

“Sayap-sayap parti merangkumi Wanita, Pemuda dan Beliawanis merupakan wakil kepada pimpinan tertinggi parti dan negeri.

“Jadi bagaimana kita selaku wakil pimpinan parti dan negeri untuk menyebar luaskan inisiatif dan pencapaian parti dan negeri jika kita sendiri tidak jelas atau mahir mengenainya?

“Oleh itu, saya menyeru kepada pimpinan di Bahagian dan cawangan untuk ketiga-tiga sayap ini lebih giat untuk memberikan pendedahan kepada kalangan ahli-ahli, pastikan setiap daripada mereka mendapat maklumat yang tepat dan padat mengenai apa yang pihak pimpinan pusat dan kerajaan negeri laksanakan demi kepentingan dan kebajikan rakyat,” ujarnya.

Emmie berkata, antara usaha Kerajaan untuk memastikan Kebajikan rakyat terjaga termasuklah menyediakan rumah SMJ untuk rakyat miskin selain memastikan infrastruktur asas seperti air dan elektrik dapat dinikmati oleh rakyat serta dasar-dasar kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan.

“Melalui ilmu pengetahuan inilah nanti yang akan memberikan perlindungan daripada segala tohmahan dan fitnah yang dibuat oleh pihak pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, semua ahli parti juga perlu bersedia mempertahankan setiap tindakan dan keputusan yang diambil oleh parti mahu pun kerajaan negeri.

“Ini kerana, setiap keputusan dan tindakan yang dibuat adalah dibuat secara kolektif setelah mengambil pandangan dan buah fikiran semua pihak selain kita perlu yakin dengan kebijaksanaan Presiden dalam membawa hala tuju dan kejayaan parti,” katanya.

Selain daripada itu, Emmie juga turut menekankan kesepakatan dan kesepaduan dan berharap ia akan terus diterjemahkan dengan “memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden Parti merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.”

Antara yang hadir di Majlis Mesyuarat Tahunan Sayap-Sayap Gagasan Rakyat Kapayan  ialah Ketua Bahagiannya Datuk Dr. Stephen Jacob Jimbangan yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung Gagasan Rakyat serta pimpinan tertinggi Bahagian Kapayan dan para pemerhati.

TAMAT

Exit mobile version