Site icon Sabah Baru News

Tiada lagi caj untuk mendaki di Hutan Simpan Bukit Leila

BINCANG: George (dua kiri) ketika dalam perbincangan itu.

SANDAKAN: Jabatan Perhutanan Sabah telah membatalkan caj yuran masuk bagi kawasan mendaki di Hutan Simpan Bukit Leila berkuat kuasa serta-merta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew  berkata, ia wajar dalam usaha mempromosikan aktiviti luar dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan pejabat Jabatan Perhutanan Sandakan, pada Khamis.

Sebelum ini, George telah menerima aduan daripada pendaki di daerah ini mengenai caj yang dikenakan untuk masuk ke kawasan pendakian berkenaan, di mana pendaki dikehendaki mendaftar dan membayar caj masuk di pejabat Jabatan Perhutanan sebelum boleh memasuki hutan melalui pusat futsal Sandakan di Batu 4.

“Tempat ini dikatakan sebagai kawasan pendakian terbaik di Sandakan. Namun, semua syarat ini telah membuatkan pendaki tidak lagi mahu membuat aktiviti mendaki di Bukit Leila. 

“Saya telah membangkitkan perkara ini kepada Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan, yang kemudiannya mengatur pertemuan dengan pegawainya di Sandakan.

“Selepas perbincangan dilakukan, jabatan ini akhirnya bersetuju untuk membatalkan caj masuk bagi pendaki di Bukit Leila,” katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.

Sementara itu, George turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perhutanan, khususnya kepada Datuk Frederick Kugan atas sikap keterbukaan beliau yang membolehkan orang ramai mengunjungi kawasan hutan ini tanpa dikenakan caj.

George berkata, beliau memahami bahawa jabatan itu hanya menjalankan tugas untuk memulihara hutan simpan Bukit Leila yang dikategorikan sebagai hutan simpan kelas I. 

Justeru, beliau menyeru semua pendaki agar berdisiplin serta tidak membuang sampah merata-rata, khususnya sampah plastik di Bukit Leila. 

Beliau turut mengingatkan bahawa aktiviti berkhemah, mendirikan khemah, menebang pokok dan memanggang adalah dilarang sama sekali di kawasan itu bagi memastikan kelestarian alam semula jadi.

Katanya, satu kaunter pendaftaran akan dibuka di pusat Futsal Sandakan bagi merekodkan maklumat pendaki untuk tujuan keselamatan. 

Selain itu katanya, pendaki dinasihatkan untuk mendaki secara berkumpulan dan memastikan sekurang-kurangnya dua individu membawa telefon pintar sebagai persediaan menghadapi sebarang kecemasan.

–Yap Siong Han

Exit mobile version