Site icon Sabah Baru News

Perdana Menteri setuju serah balik 400ha tanah adat di Tambisan

KETIBAAN Anwar disambut meriah oleh penduduk Felda.

LAHAD DATU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju agar tanah adat seluas 400 hektar (ha) di Tambisan dipulangkan dan diberi hak milik kepada penduduk di kawasan tersebut.

Perdana Menteri berkata, beliau telah meneliti perkara ini dan ia telah dibangkitkan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) dan kerajaan negeri.

“Jadi baiklah kalau begitu, saya setuju untuk serah balik setelah dibuat ukuran oleh kerajaan negeri dan saya akan bincang dengan Felda bagaimana.

“Berapa puluh tahun, berapa banyak kerajaan silih berganti, Alhamdulillah Kerajaan Madani dengar, terus luluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santunan Budi, Tautan Kasih Felda Madani di Padang Bandar Felda Wilayah Sahabat, Khamis.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menjelaskan bahawa pentadbiran Kerajaan Madani lebih tegas dan tidak bertolak ansur dengan mereka yang mencuri duit atau mengambil hak rakyat.

Beliau berkata, sekiranya individu-individu ini terbukti melakukan kesalahan tersebut, maka mereka akan ditangkap dan didakwa.

“Jangan salah faham, saya tidak pilih bukan kerja saya buat siasatan, bukan saya yang jatuhkan hukuman. Sekiranya dapat laporan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang buat siasatan, kalau kes-kes jenayah, itu urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan dan membuat siasatan.

“Siasatan kemudiannya diserahkan kepada peguam negara dan jika ada kes yang kuat maka pendakwaan akan dibuat dimana mereka ini diberi peluang untuk mempertahankan diri sebelum Hakim putuskan,” kata beliau.

Menurut beliau, perkara ini perlu dijelaskan kerana apabila individu-individu ini didakwa, ia ditafsirkan sebagai dendam beliau.

Atas sebab itu, beliau mengingatkan agar kita perlu memilih pemimpin yang berintegriti, yang bersih dan menjaga kepentingan rakyat kerana bila kita pilih orang yang hormat negara, negara akan untung.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan sebuah pusat dialisis di kawasan Felda Sahabat untuk keselesaan penduduk.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar sentiasa menjaga dan mengutamakan kesihatan serta mengurangkan kadar pengambilan gula.

Turut hadir ialah Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Chek dan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

— Azmie Lim

Exit mobile version