Site icon Sabah Baru News

Pencapaian kerajaan negeri faktor GRS jadi pilihan : Nizam

SEMANGAT: Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bersama ketua-ketua cawangan dan perwakilan Gagasan Rakyat Bahagian Sebatik bersorak semangat.

TAWAU: Pencapaian cemerlang kerajaan negeri menjadi faktor utama rakyat lebih cenderung memilih untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika ini.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, rakyat sudah mula melihat keikhlasan kerajaan negeri melalui inisiatif dan bantuan yang disalurkan selama empat tahun mentadbir.

Katanya, Gagasan Rakyat yang juga merupakan sebahagian daripada parti komponen GRS dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan lain-lain (Plus), sudah berada pada landasan yang betul.

“Kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sudah menunjukkan pelbagai pencapaian termasuklah menurunkan dan menoktahkan miskin tegar di Sabah.

“Rakyat juga sudah mula merasai perubahan yang sangat ketara sejak kerajaan GRS-PH Plus mentadbir berbanding kerajaan yang sebelum ini memerintah selama dua tahun lebih,” katanya.

Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sebatik, di sini hari ini.

Menurutnya, perkara paling penting adalah kerajaan negeri hari ini fokus dengan kerja dan tidak banyak bercakap soal politik sejak empat tahun memerintah.

“Kita mahukan kestabilan politik supaya tumpuan kerajaan negeri hanya mentadbir dan menyelesaikan semua masalah-masalah rakyat yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Justeru, saya yakin rakyat sudah lebih matang dan dapat membezakan kerjaaan yang fokus dengan kerja berbanding kerajaan yang hanya sibuk bermain politik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sebatik Datuk Hassan A Gani Pg. Amir kerana berjaya menghimpunkan lebih 1,000 orang perwakilan daripada 143 cawangan.

“Saya cukup yakin penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik akan memilih GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.

CENDERA KENANGAN: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (tengah) menerima cendera kenangan daripada Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sebatik Datuk Hassan A Gani Pg. Amir.

Sementara itu, Hassan optimis bahawa PRN akan datang GRS akan dapat mempertahankan kerusi di DUN Sebatik kerana melihat penerimaan rakyat akar umbi ketika ini.

Katanya, Gagasan Rakyat Sebatik hanya bermula 60 cawangan sahaja dan dalam masa setahun keahlian sudah bertambah menjadi lebih 5,000 orang daripada 143 cawangan.

“Melalui program turun padang yang dilaksanakan, saya berkeyakinan keahlian Gagasan Rakyat Sebatik akan terus bertambah.

“Saya juga sudah meminta semua ketua cawangan dan ahli supaya terus mengambil perhatian keperluan rakyat akar umbi untuk diselesaikan dan diangkat ke peringkat pucuk pimpinan,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version