Site icon Sabah Baru News

Kerajaan negeri tekankan pembangunan belia

KENANGAN: Hajiji (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian peserta program berkenaan.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menekankan pembangunan belia dan selaras dengan Dasar Belia Sabah, sejumlah RM16.9 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan program pembangunan kepimpinan belia di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, program itu merangkumi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial.

“Kerajaan juga akan terus menyediakan sumber untuk pelaksanaan pelbagai program untuk belia kita, termasuk latihan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan.

“Skim pembangunan belia seperti Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah  (SYABAS) akan terus menyokong usahawan muda kita dalam memulakan dan memperkukuh inisiatif keusahawanan mereka,” katanya ketika merasmikan Sabah Moto Day 7.0 di sini, hari ini.

Majlis berkenaan menerima kehadiran seramai 50,000 peserta termasuk dari Brunei dan Semenanjung Malaysia.

Hajiji berkata, beliau akan mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memasukkan Sabah Moto Day dalam kalendar pelancongan negeri.

Beliau berkata, acara yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu merupakan program sukan bermotor tahunan terbesar yang dinantikan oleh peminat di Sabah dan luar negeri.

“Saya percaya program ini akan menggalakkan belia terlibat dalam aktiviti yang bermanfaat bagi menjauhkan mereka daripada aktiviti lumba haram, memperkukuh hubungan dan meningkatkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah di samping mempromosikan keselamatan penunggang motosikal kepada masyarakat,” katanya.

Hajiji turut memuji penganjur Sabah Moto Day 7.0 kerana banyak program bermanfaat telah disusun sepanjang dua hari acara berkenaan diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia yang mensasarkan golongan belia.

“Penyerahan sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Tuaran bersama Skuad Anti Dadah Sabah akan menggalakkan belia kita melakukan kerja-kerja amal dan menyumbang kepada golongan yang memerlukan.

“Saya yakin program ini akan memupuk perpaduan dalam kalangan belia dalam sukan bermotor dan menanam nilai-nilai murni selaras dengan objektif acara ini.

“Selaras dengan komitmen kerajaan untuk memupuk belia sebagai pelapis kepimpinan negeri dan negara, saya berharap program seperti ini akan terus dianjurkan,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version