Site icon Sabah Baru News

Anwar-Hajiji punya sejarah persahabatan panjang

Anwar pernah datang ke Tuaran membantu kempen ketika Hajiji (dua dari kiri) bertanding pada pilihan raya negeri 1994. Hubungan kedua-duanya mekar semula selepas Anwar menjadi Perdana Menteri pada November 2022 dan Hajiji menghubunginya bagi menyatakan sokongan Gagasan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus membolehkan kerajaan waktu itu memperoleh majoriti dua pertiga.

MOMEN kemesraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor, tertangkap kamera di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, pada Isnin malam.

Anwar kelihatan mengenggam erat tangan Hajiji sebelum Perdana Menteri pulang ke Kuala Lumpur kira-kira jam 11.50 malam.

Kedua-dua pemimpin itu kelihatan berbual seketika, senyum dan tertawa, sebelum Anwar menaiki tangga pesawat kerajaan.

Sejurus sebelum pintu pesawat ditutup, Ketua Menteri dan sejumlah pemimpin yang hadir membalas lambaian tangan Perdana Menteri.

Pesawat khas itu kemudian bergerak perlahan menuju landasan. Deru enjin semakin kuat. Dan seketika pesawat pun meluncur naik ke ruang udara yang gelap-gelita. Lalu hilang dari pandangan.

Perdana Menteri berada di Kota Kinabalu selama kira-kira empat jam, untuk menghadiri sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan.

Beliau tiba kira-kira jam 7.35 malam, disambut Hajiji yang kemudian membawanya ke Padang Merdeka Kota Kinabalu, tempat acara sambutan itu berlangsung dengan penuh gilang-gemilang.

Empat hari sebelum itu, Anwar juga berada di Sabah bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksana Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan berkunjung ke daerah Lahad Datu di pantai timur Sabah.

Kunjungan dua kali Perdana Menteri ke Sabah dalam tempoh kurang seminggu, adalah manifestasi eratnya hubungan antara Kota Kinabalu dan Putrajaya.

Lebih penting, ia menggambarkan terjalin kukuh kebersamaan Anwar dan Hajiji sebagai pemimpin Pusat dan negeri — seperti terlihat momen yang tertangkap kamera pada malam kelmarin.

MESRA: Hajiji dan Anwar erat bersalaman sejurus sebelum Perdana Menteri menaiki pesawat untuk pulang ke Kuala Lumpur pada Isnin malam.

Sebenarnya, kedua-dua pemimpin mempunyai sejarah persahabatan panjang menerusi jambatan politik yang bermula lebih 30 tahun yang lalu.

Anwar pernah datang ke Tuaran membantu kempen ketika Hajiji bertanding pada pilihan raya negeri 1994.

Hubungan kedua-duanya mekar semula selepas Anwar menjadi Perdana Menteri pada November 2022 dan Hajiji menghubunginya bagi menyatakan sokongan Gagasan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus membolehkan kerajaan waktu itu memperoleh majoriti dua pertiga.

Tahun ini, Anwar memasuki tahun kedua sebagai Perdana Menteri manakala Hajiji tahun empat menerajui pentadbiran negeri Sabah.

Sepanjang kebersamaan kedua-dua pemimpin, banyak pencapaian diperoleh, khususnya berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi perdebatan sekian lama.

Mesyuarat MTPMA63 pada 12 September lepas misalnya menyatakan bahawa banyak tuntutan yang dibuat mengenainya berjaya diselesaikan di bawah pentadbiran Anwar berbanding beberapa Perdana Menteri sebelumnya.

Penyelesaian di bawah pentadbiran Anwar bermakna ia hasil daripada perundingan yang dibawa Hajiji.

Menurut kenyataan media selepas mesyuarat itu, sebanyak 11 tuntutan di bawah platform rundingan MA63 telah berjaya diselesaikan sehingga kini.

Tujuh daripadanya dirungkai di bawah kepemimpinan Perdana Menteri ke-10, satu di bawah Perdana Menteri Ke-8 dan tiga di bawah Perdana Menteri Ke-9.

Tujuh yang diselesaikan Perdana Menteri sekarang ialah Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak sebagai Jabatan Teknik; Penyerahan Kuasa Kawal Selia Bekalan Gas;  dan Pindaan Akta LHDN 1995 [Akta 533] bagi Melantik Wakil Kerajaan Negeri Sabah Dan Sarawak Sebagai Anggota Tetap LHDN.

Yang lain termasuk Pentadbiran Badan Kehakiman di Sabah dan Sarawak; Garis Panduan Khas Penyerahan Semula Tanah Direzabkan Bagi Maksud Persekutuan di Negeri Sabah dan Negeri Sarawak; Penyerahan Kuasa Kawal Elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Daripada Kerajaan Persekutuan Kepada Kerajaan Negeri Sabah; dan Cadangan Pindaan Perkara 95B Mengenai Ubah Suaian Bagi Negeri Sabah Dan Sarawak Mengenai Pembahagian Perundangan.

Satu isu yang diselesaikan sewaktu zaman Perdana Menteri Ke-8 ialah Penyerahan Kuasa Kawal Selia Liquefied Petroleum Gas (LPG) kepada Kerajaan Negeri Sarawak.

Manakala tiga isu diselesai waktu zaman Perdana Menteri Ke-9 ialah Penyerahan Kuasa Ke Atas Pentadbiran Pulau Sipadan Dan Pulau Ligitan Kepada Kerajaan Negeri Sabah; Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) Dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan; dan Pemberian Kuasa (Empowerment) Mengenai Pelesenan Dan Penangkapan Ikan Laut Dalam Kepada Kerajaan Negeri Sabah Dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Hakikatnya, sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Sabah kali ini membawa makna besar dalam perjuangan menuntut hak-hak terkandung dalam MA63.

Datuk Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo.
Exit mobile version