Site icon Sabah Baru News

Sabah masih perlu kerjasama parti nasional, belum dapat ikut Sarawak: Hajiji

RASMI: Hajiji melakukan gimik perasmian pada Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Bahagian Sindumin, di Dataran QSS di sini.

SIPITANG: Sabah belum dapat mengikut jejak Sarawak untuk membentuk kerjasama politik yang hanya membabitkan parti tempatan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata Sabah masih memerlukan kerjasama di antara parti tempatan melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan rakan parti nasional yang lain.

Katanya, gabungan GRS – Pakatan Harapan (PH) Plus yang membentuk kerajaan negeri ketika ini adalah susunan kerjasama yang sudah sedia ada untuk Sabah dan ia akan dikekalkan pada PRN nanti.

“Dalam politik kita mesti kerjasama dengan rakan sedia ada dan inilah kita dalam GRS sekarang, mesti satu hati. Kita juga mesti bekerjasama dengan parti nasional yang sudah ada di Sabah sekarang.

“Inilah ‘setup’ (persediaan) kita di Sabah, belum dapat macam Sarawak. Suka atau tidak, inilah keadaan di Sabah. Apa yang penting ialah kukuhkan perpaduan dalam kalangan GRS dengan rakan PH dan lain-lain.

“Kalau kita bekerjasama, tiada sabotaj sana sini, tolong-menolong antara satu sama lain, saya yakin kita boleh menang dengan mudah pada PRN nanti,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin, di Dataran QSS di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan kepimpinan Gagasan Rakyat Negeri.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat turut mengingatkan ahli parti itu, termasuk di Sindumin supaya memastikan Gagasan Rakyat terus diperkukuhkan, selain menjaga kerjasama dengan rakan dalam GRS dan parti nasional.

“Kuatkan perpaduan diantara kita, mantapkan juga kerjasama dengan rakan dalam GRS dan PH Plus. Kita perlu saling membantu antara satu sama lain bagi memastikan kemenangan di Sindumin dan semua kawasan lain pada PRN nanti,” katanya.

Sementara itu, Hajiji mengumumkan pembinaan 40 Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun depan, berbanding 20 rumah setahun sebelum ini.

Katanya, kira-kira 3,000 unit jumlah keseluruhan Rumah Mesra SMJ akan dibina pada tahun depan bagi membolehkan lebih ramai golongan miskin tegar belum memiliki rumah untuk diberikan bantuan itu.

“Sebelum ini kita beri setiap kawasan DUN sebanyak 20 Rumah Mesra SMJ untuk golongan miskin tegar, tapi pada tahun depan kita akan tambah daripada 20 kepada 40 buah rumah.

“Ini kerana kita tahu ramai lagi yang tiada rumah dan perlu dibela. Kita akan usahakan 3,000 rumah tahun depan untuk mereka yang dalam kategori miskin tegar,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu bersama banyak lagi bantuan lain termasuk berkaitan pembangunan modal insan hanya berlaku dalam kerajaan GRS-PH Plus.

Katanya, pelaksanaan inisiatif untuk manfaat rakyat itu sejajar dengan usaha berterusan kerajaan negeri pimpinannya dalam membela nasib rakyat dan membawa pembangunan di negeri ini.

“Kerajaan pembangkang sebelum ini tidak melaksanakan sebarang inisiatif yang menjurus kepada membela nasib rakyat kerana lebih menumpukan kepada mencari kesalahan kerajaan terdahulu,” katanya.

Hajiji turut menyatakan keyakinannya terhadap potensi Sipitang untuk menjadi sebuah daerah maju berdasarkan kedudukannya yang strategik berhampiran Sarawak, Brunei Darussalam dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, rakyat Sipitang juga bakal merasai limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan menerusi pembukaan kilang dan perniagaan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

“Kawasan perindustrian itu sudah penuh berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pelabur yang mahu membuka kilang dan perniagaan di kawasan berkenaan setakat ini.

“Di Sipitang ini rakyat perlu berbangga kerana kita ada SOGIP, sekarang kawasan tanah itu sudah penuh, banyak pelabur dari luar dan dalam negara sudah memeterai perjanjian untuk membuka kilang dan perniagaan,” katanya.

Hajiji berkata, hanya dalam kerajaan GRS-PH Plus pelabur ramai datang. Walaupun sekarang belum kita nampak, tapi dalam masa terdekat atau tahun depan pelabur dijangka akan memulakan membuka kilang di SOGIP.

“Sudah tentu manfaatnya rakyat Sipitang dapat. Jadi, memang Sipitang ini mempunyai masa depan besar kerana kedudukan strategik,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version