Site icon Sabah Baru News

DUN Balung mampu jadi ‘Deposit Tetap’ Gagasan Rakyat

SEMANGAT: Nizam bersama pemimpin dan ahli Gagasan Rakyat Balung bersemangat melaungkan slogan ‘rumah kita, kita yang jaga’.

TAWAU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung dijangka mampu menjadi ‘Fixed Deposit’ (Deposit Tetap) kepada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berdasarkan sokongan padu daripada rakyat terhadap parti ketika ini.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sokongan terhadap Parti ini dilihat semakin kuat dan telah mendapat tempat di hati ramai pengundi di DUN Balung.

Katanya, bilangan ahli Gagasan Rakyat di DUN Balung sudah melebihi seramai 7,500 orang dan mempunyai sebanyak 126 cawangan.

“Walaupun parti ini baharu ditubuhkan, tetapi kemasukan ahli baharu di Gagasan Rakyat semakin bertambah dan difahamkan masih banyak lagi cawangan bakal ditubuhkan di DUN Balung.

“Pencapaian ini sudah pasti menjadikan DUN Balung mampu menjadi ‘Fixed Deposit’ kepada Gagasan Rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun hadapan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penyelaras Gagasan Rakyat Zon 12 berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Balung, di sini hari ini.

Menurutnya, DUN Balung akan mudah ditawan pada PRN akan datang memandangkan pencapaian kerajaan negeri membela nasib rakyat sudah terbukti dan ramai sudah terkeluar daripada garis kemiskinan.

“Saya juga yakin kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus akan diteruskan pada PRN depan, sekali gus kerajaan negeri hari ini kekal sebagai pemerintah di Sabah,” katanya.

PENGHARGAAN: Nizam (dua kanan) menerima cendera kenangan daripada Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Balung, Datuk Hamild Awang.

Sementara itu, Nizam turut menyokong kenyataan Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bahawa perlunya ada kerjasama dengan parti nasional pada PRN akan datang.

Katanya, senario politik di Sabah perlu menerima hakikat bahawa kerajaan negeri yang dibentuk hari ini adalah hasil sokongan parti yang berpusat di Semenanjung seperti PH.

“Walaupun parti itu berpusat di Semenanjung, tetapi mereka sudah terbukti memberikan sokongan dan dokongan terhadap perjuangan GRS di Sabah.

“Mereka juga telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk bersama-sama menjaga negeri ini demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri meminta agar pimpinan akar umbi Gagasan Rakyat supaya merapatkan barisan dan sentiasa bersatu hati demi parti ini.

“Saya mahukan semua pemimpin dan ahli Gagasan Rakyat menjadi jurucakap kepada parti ini serta memberi penerangan terhadap usaha-usaha kerajaan membela rakyat.

“Kita tidak mahu rakyat di akar umbi terpengaruh dan terpedaya dengan hasutan pembangkang yang cuba memesongkan keyakinan rakyat kepada kerajaan hari ini,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version