Site icon Sabah Baru News

Ekonomi Rakyat agenda utama ADUN Balung sekiranya dipilih semula

TERIMA KASIH : Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Balung, Datuk Hamild Awang (dua dari kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Datuk Nizam Abu Bakar Titingan sebagai tanda penghargaan.

TAWAU: Ekonomi rakyat menjadi agenda utama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang sekiranya dipilih semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Hamild berkata, ekonomi rakyat adalah menjadi keutamaan dalam pentadbirannya kerana masih ramai penduduk Balung yang perlu dibantu supaya keluar daripada garis kemiskinan.

Katanya, kerajaan negeri banyak memberikan bantuan dan peruntukan kepada rakyat meliputi semua golongan tanpa terkecuali di Sabah.

“Kita akan berusaha membantu penduduk Balung supaya menerima semua bantuan kerajaan terutamanya mereka yang mahu memulakan perniagaan.

“Saya yakin dengan pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, sudah pasti ekonomi penduduk Balung bertambah baik,” katanya.

Datuk Hamild Awang.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) Bahagian Balung berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Balung, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, katanya, pelajar yang ingin melanjutkan pengajian juga menjadi keutamaan di Balung kerana melalui pendidikan pelajar boleh mengubah nasib keluarga mereka.

“Saya akan cuba membantu pelajar yang merupakan pengundi muda di Balung supaya mendapat semua bantuan pelajaran daripada kerajaan negeri.

“Selain itu, masalah infrastruktur seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya juga akan terus diberikan fokus supaya rakyat di Balung dapat hidup dalam keadaan selesa,” katanya.

Sementara itu, Hamild turut berkeyakinan dapat mempertahankan kerusi DUN Balung pada PRN akan datang berdasarkan sokongan semua jentera Gagasan Rakyat dan penduduk Balung.

Katanya, Gagasan Rakyat Balung sudah mempunyai keahlian yang ramai dan hampir separuh pengundi adalah ahli serta penyokong parti kita.

“Saya juga sentiasa mengingatkan semua jentera parti supaya terus turun padang menyantuni rakyat di akar umbi supaya Gagasan Rakyat menjadi pilihan mereka.

“Gagasan Rakyat Balung akan terus berusaha menambah bilangan ahli dan mewujudkan cawangan-cawangan baharu di seluruh DUN Balung,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version