Site icon Sabah Baru News

Jangan Main Politik Murahan, Menangi Hati Rakyat Dengan Prestasi Baik: Emmie

Emmie merakamkan kenangan bersama Ketua Bahagian Sukau Datuk Juhari Janan dan sayap beliawanis bahagian.

SANDAKAN: Semua Ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) khususnya sayap bongsu parti, iaitu Pergerakan Beliawanis diingatkan untuk tidak bermain politik secara murahan sebaliknya berpolitik secara matang.

Ketua Pergerakan Beliawanis Pusat, Emmie Datuk Martin Idang menegaskan bahawa ahli parti seterusnya jentera harus memenangi hati rakyat dengan prestasi dan khidmat bakti kepada mereka dan bukannya dengan merendahkan serta memburukkan pihak lawan. 

Tegasnya lagi, jentera penggerak di lapangan mesti mengambil tahu berkaitan pencapaian-pencapaian dan rekod baik Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri merangkap Presiden Parti, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Pencapaian ini merupakan rekod cemerlang tampuk kepimpinan Presiden yang perlu disebarluaskan kepada segenap kelompok rakyat di luar sana, seperti inisiatif penambahan bantuan rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) yang akan dimanfaatkan oleh golongan berpendapatan rendah, peningkatan peruntukan biasiswa selain pemberian bantuan RM2,000 kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Di samping itu, Kerajaan Negeri juga memfokuskan kepada pembangunan modal insan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM470 juta melalui pelbagai program dan inisiatif seperti BUDI, BAGUS, BAKTI, BALQIS dan sebagainya.

“Rekod dan pencapaian cemerlang inilah yang perlu kita sampaikan kepada rakyat. Biar mereka tahu bahawa kita bukan hanya pandai bercakap kosong dan menghentam semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Sukau 2024 di Dewan Pandu Puteri, di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Emmie turut menyeru agar ahli sayap itu bersama-sama mempersiapkan jentera untuk membantu dengan sepenuh hati bagi memastikan agenda Parti dan Kerajaan dapat diterjemahkan kepada rakyat.

“Adakah kita sedar bahawa di dalam nama Parti kita Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ada menyebut nama atau perkataan ‘RAKYAT’ yang mana perkara ini secara simbolik menjelaskan bahawa agenda perjuangan Parti kita ini dan ‘RAKYAT’ tidak dapat dipisahkan.

“Di sebalik asas perjuangan Parti yang kita pupuk ke dalam hati sanubari setiap ahli parti tidak boleh tersasar tumpuannya daripada rakyat yang kita katakan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’, kita perlu jaga Sabah sebagai rumah kita serta rakyat di negeri kita yang tercinta ini,” jelasnya.

— Liliana Ivan

Exit mobile version