Site icon Sabah Baru News

PRN Sabah boleh diadakan lebih awal – Hajiji

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bergambar bersama para pemimpin dan ahli-ahli Gagasan Rakyat pada Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Pitas Tahun 2024 di Dewan Majlis Daerah Pitas pada Isnin.

PITAS: Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) boleh diadakan lebih awal sebelum tamat tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sekarang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, PRN17 boleh diadakan lebih awal jika beliau memutuskan untuk mengadakannya sebelum DUN tamat tempoh.

“PRN akan datang paling akhir pada Oktober tahun depan. Jadi, saya fikirlah bila kita akan adakan PRN. Kalau saya fikir awal, maka awal lah, kerana itu kita kena bersiap sedia dari sekarang,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Pitas di Dewan Majlis Daerah Pitas, pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat meminta rakyat Sabah tidak terpengaruh dengan pihak lawan yang ketika ini giat melakukan jelajah menyampaikan ceramah di seluruh negeri.

Katanya, beliau diserang siang dan malam dengan pelbagai fitnah dan cerita tidak benar namun fakta menunjukkan kerajaan pimpinannya melakukan yang terbaik berpandukan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang digariskan.

Katanya, masalah air di Sabah menjadi bertambah buruk ketika ini susulan tindakan kerajaan sebelum ini menamatkan konsesi syarikat yang mengurus operasi loji rawatan air (LRA) di seluruh Sabah.

Menurut, penamatan konsesi sembilan syarikat kontraktor yang dilantik oleh kerajaan terdahulu bukan sahaja menyebabkan kerajaan negeri disaman dan terpaksa membayar pampasan, malah menjejaskan pengurusan bekalan air sedia ada. 

— SURAIDAH ROSLAN

Exit mobile version