Site icon Sabah Baru News

Gagasan Rakyat Moyog nekad kembalikan DUN itu kepada Kerajaan

Mandela merakamkan gambar kenangan bersama para perwakilan yang hadir.

PENAMPANG: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Moyog nekad mengembalikan kawasan DUN itu di bawah jagaan kerajaan.

Ketua Bahagiannya, Datuk Ceaser Mandela Malakun berkata, Moyog wajar dibebaskan dari pegangan pembangkang untuk dipimpin oleh mereka yang benar-benar mampu berkhidmat.

“Kita mempunyai sokongan akar umbi yang kuat dan bersama-sama parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), termasuk rakan kongsinya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, kita telah mengutarakan resolusi untuk bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.

“Perpaduan yang terjalin akan memastikan penduduk Moyog khususnya golongan kurang berkemampuan dapat terus dijaga oleh kerajaan.

“Apa yang penting ialah pakatan GRS-PH dipelihara supaya tiada perpecagab berlaku ketika menghadapi pilihan raya negeri,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan bahagian itu di ITCC pada Ahad.

Mandela berkata Gagasan Rakyat Moyog kini mempunyai 3,200 ahli dengan 68 cawangan dan menyasarkan sekurang-kurangnya 100 penubuhan sebelum pilihan raya.

Beliau memberitahu 800 perwakilan yang hadir agar mengikuti gaya Presiden mereka yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang ikhlas bekerja untuk rakyat dan bukannya mengejar populariti.

“Kita tidak perlu menunggu lima tahun untuk menilai perbezaan antara GRS dan kerajaan sebelum ini kerana dalam tempoh dua tahun sahaja hasilnya sudah jelas.

“Hajiji bekerja dalam diam untuk membetulkan kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu untuk pembangunan rakyat.

“Pembangkang perlu sedar bahawa politik retorik yang bertujuan untuk mengelirukan tanpa sebarang hasil sebenar bukanlah jalan ke hadapan.

“Rakyat sudah muak dengan perbuatan itu dan boleh menilai sendiri,” tegasnya.

Senator Datuk John Ambrose yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat dan Penasihat Kehormat Moyog manakala berkata adalah wajar kerusi Moyog diserahkan kepada Gagasan Rakyat.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa DUN Kapayan sudah menjadi milik DAP manakala kerusi parlimen adalah milik UPKO. Moyog kini dipegang oleh Datuk Darell Leiking dari Warisan.

“Semuanya terpulang kepada pucuk pimpinan. Walau bagaimanapun, sokongan penuh kita mesti diberikan kepada sesiapa yang bertanding.

“Tetapi bagi saya, jika Gagasan Rakyat bertanding, saya menjangkakan kemenangan mudah. Malah, kita boleh menang di lima bahagian lain termasuk satu kerusi parlimen.

“Penduduk Moyog mahukan program tebatan banjir, penjagaan kesihatan dan pendidikan. Jika ketiga-tiga aspek ini dapat dicapai, calon Warisan akan kehilangan depositnya,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version