Site icon Sabah Baru News

Pengamal media tidak boleh bergantung kepada AI

KENANGAN: Muguntan (empat kanan) bersama Hajiji (lima kanan) merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian pemenang pada KPA 2024.

KOTA KINABALU: Pengamal media tidak boleh dan tidak seharusnya bergantung sepenuhnya dengan kemudahan Kecerdasan Buatan (AI).

Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar berkata, tidak dinafikan dengan kemajuan teknologi maklumat yang semakin pesat, hari ini alat yang dipanggil AI telah mengubah cara pengamal media bekerja. 

“Saya tahu ramai yang bekerja keras di dalam bilik berita yang kecil. Ia mungkin kelihatan sebagai alat yang memudahkan. Tetapi, kita tidak boleh dan tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada AI.

“Kita, wartawan, penyunting dan editor tidak boleh digantikan oleh program atau dalam istilah IT disebut Bots. 

“Dalam laporan berita atau menyunting berita, etika atau segala keputusan bergantung kepada penilaian kita sendiri, AI mungkin boleh memberikan salinan yang bersih tetapi, ia bukan sentuhan manusia. 

“Ia mungkin menjadi alat yang baik untuk memudahkan kerja tetapi kita semua harus menggunakan akal fikiran kita kerana, otak kita adalah pemproses terbaik,” katanya ketika pada Majlis Kinabalu Press Award (KPA) 2024, pada Ahad di sini.

Beliau menyeru kepada para pengamal media di sini agar sentiasa berbangga dengan hasil kerja masing-masing dan kemahiran menulis sendiri.

“Pastikan artikel yang dihantar untuk KPA adalah karya asli anda. Bukan AI. Juri-juri kita terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang ini dan mereka akan dapat mengetahui perbezaannya. 

“Anda semua tahu apa yang saya maksudkan, jadi saya tidak akan menjelaskan lebih lanjut tetapi berharap anda semua akan ingat perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan di Sabah, boleh dilihat media tempatan tidak berkembang. 

Katanya, media nasional dan banyak media lain juga turut beroperasi. 

“Kita tidak melihat wajah-wajah baharu. Mungkin sudah tiba masanya syarikat media di sini menawarkan gaji yang lebih baik untuk menarik golongan muda dan juga mengangkat pembekuan kenaikan gaji yang telah menjejaskan kakitangan sedia ada sejak pandemik COVID-19.

“Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas sokongan secara langsung mahupun tidak langsung terhadap syarikat media arus perdana di Sabah melalui pengiklanan dan advertorial sejak kebelakangan ini.

“Kami di peringkat SJA berharap sokongan oleh kerajaan negeri sebegini akan memberi manfaat kepada kakitangan. 

“Saya sedar bahawa saya mengulangi isu yang sama, tetapi kami percaya bahawa penyampaian laporan media akan menjadi lebih baik dengan persekitaran kerja yang baik,” katanya.

Sementara itu katanya, SJA juga bercadang untuk membawa acara KPA lebih ke hadapan kepada suku pertama seperti yang dilakukan pada tahun-tahun sebelum ini. 

Katanya, ia kerana anugerah yang diberikan tahun ini sebenarnya adalah hasil kerja yang dilakukan pada tahun sebelumnya. 

“Kami merasakan bahawa lebih tepat jika anugerah ini diadakan pada suku pertama.

“Biarpun mendapatkan tarikh dan masa yang tepat agak sukar bagi wartawan yang sentiasa mendapatkan berita. 

“Kami akan melihat sekitar bulan Jun untuk penganjuran KPA 2025, tetapi kami akan melihat keadaan memandangkan Pilihan Raya Negeri ke-17 mungkin akan diadakan pada bila-bila masa bagi tempoh 12 bulan akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor serta tetamu kehormat yang lain.

— Yap Siong Han

 

Exit mobile version