Site icon Sabah Baru News

Jentera digesa uar-uarkan kejayaan kerajaan

ALBUM: Arifin bersama Limus merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian perwakilan yang hadir pada mesyuarat itu.

KUALA PENYU: Naib Presiden 1 Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif menggesa ahli khususnya jentera parti di setiap peringkat supaya memberi penjelasan yang lebih jelas kepada akar umbi tentang kejayaan yang telah dibawa parti itu sejak menerajui kerajaan.

Mengulas lanjut Arifin berkata, ia penting bagi memastikan tohmahan dan fitnah pembangkang dapat ditepis dengan kebenaran kerana pembangkang sering menafikan sumbangan besar kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH Plus).


“Peranan jentera Gagasan Rakyat di semua peringkat diperlukan bagi memberi penjelasan kepada rakyat di akar umbi tentang kejayaan yang telah dibawa parti itu sejak menerajui kerajaan negeri.

 
Katanya, terlalu banyak sumbangan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor menerusi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Kuala Penyu yang diadakan di Dewan Syahbandar Makang, baru-baru ini.

MESRA: Arifin bersalaman dengan sebahagian perwakilan semasa tiba di mesyuarat itu.

Katanya, segala aspirasi kerajaan yang telah dan sedang dilaksanakan ketika ini banyak memberi manfaat kepada rakyat Sabah yang jelas memenuhi setiap aspek.


“Semua kejayaan kerajaan GRS-PH Plus ini benar-benar menepati kehendak rakyat malah terus sampai kepada golongan sasar antaranya bantuan pendidikan menerusi pelbagai inisiatif.


“Termasuk bantuan rumah SMJ untuk golongan miskin sebanyak 40 buah bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), selain pelbagai bantuan sepanjang empat tahun mentadbir Sabah.


“Memang banyak (sumbangan) namun pembangkang sengaja menafikan semua kebaikan kerajaan ini, justeru, semua ahli, pimpinan Gagasan Rakyat harus menjelaskan sumbangan yang telah dibawa ke akar umbi,” katanya.


Hadir sama Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuala Penyu, Datuk Limus Jury; Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Klias, Datuk Isnin Aliasnih, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version