Site icon Sabah Baru News

Jentera Gagasan Rakyat Kuala Penyu sedia hadapi PRN17: Limus

SEMANGAT: Arifin bersama Limus dan tetamu kehormat lain melaungkan Gagasan Rakyat sempena mesyuarat itu.

KUALA PENYU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury berkata parti bahagian itu sudah membuat pelbagai persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.


Mengulas lanjut Limus berkata, pihaknya sudah bersiap sedia malah jentera-jentera di semua peringkat telah melakukan segala persiapan bagi menghadapi PRN17 demi memastikan Kuala Penyu kekal milik Gagasan Rakyat.

“Kita sudah siap sedia dan yakin mampu mempertahankan kerusi Kuala Penyu agar terus menjadi milik Gagasan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Kuala Penyu yang diadakan di Dewan Syahbandar Makang, baru-baru ini.


Mesyuarat Agung Tahunan bahagian itu disempurnakan oleh Naib Presiden 1 Gagasan Rakyat, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.


Turut hadir Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Klias, Datuk Isnin Aliasnih, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun.


Arifin ketika ditemui menggesa supaya setiap bahagian Gagasan Rakyat menambah keahlian dan cawangan bagi memastikan parti itu bertambah kukuh sekaligus mengekalkan kemenangan selepas PRN17 akan datang.


Beliau juga mahu setiap bahagian menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan komponen parti dalam Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH Plus) kerana semua itu menjadi faktor penentu kepada kejayaan dalam pilihan raya (PRN17).


Disamping itu Arifin turut meminta ahli-ahli khususnya jentera parti di setiap peringkat supaya memberi penjelasan yang lebih jelas kepada akar umbi tentang kejayaan yang telah dibawa parti itu sejak menerajui kerajaan.


Beliau percaya, melalui usaha itu ia dapat menepis tohmahan dan fitnah pembangkang yang sering menafikan sumbangan besar kerajaan pimpinan GRS-PH Plus.


Terdahulu, Limus turut memaklumkan Gagasan Rakyat bahagian itu kini mempunyai 6,000 ahli membabitkan lebih 100 cawangan berdaftar dan bakal bertambah dalam masa terdekat dalam usaha mengukuhkan lagi parti itu di bahagian Kuala Penyu.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version