Site icon Sabah Baru News

KPDN sasar 657 siri tambahan PJR di Sabah

ARMIZAN (tengah) ditemui media dalam PJR Madani yang diadakan di perkarangan Dewan Arena Belia, Kunak pada Sabtu.

KUNAK: Program Jualan Rahmah (PJR) Madani mendapat sambutan yang cukup baik daripada penduduk di Sabah dengan 747 siri PJR telah diadakan di negeri ini sejak awal Januari hingga Jumaat lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, berikutan sambutan yang menggalakkan itu, kementeriannya menyasarkan sebanyak 657 lagi siri tambahan Program Jualan Rahmah Madani akan dilaksana di Sabah dalam tempoh Oktober hingga hujung Disember ini.

Menurutnya, sejak mula dilaksanakan pada tahun 2023, PJR mendapat sambutan yang cukup hangat daripada masyarakat;

“Ini merupakan satu langkah intervensi kerajaan bagi menangani kos sara hidup.. melalui PJR ini barangan ditawarkan diberi diskaun pada kadar 10 hingga 30 peratus sekaligus banyak membantu masyarakat”, katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Jualan Rahmah Madani & Sentuhan Kasih bersama komuniti yang diadakan di perkarangan Dewan Arena Belia di sini, Sabtu.

Dalam majlis sama beliau menyampaikan bantuan ‘Bakul Rahmah’ dan penyerahan Skim Jaya Usahawan Belia kepada mereka yang terpilih. 

Beliau telah mengarahkan supaya dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini (Oktober – Disember), kekerapan penganjuran PJR dapat diperbanyakkan.

“Kita memutuskan untuk Sabah ini agar diadakan tiga siri PJR setiap bulan, di setiap (kawasan) DUN jadi keseluruhan (sebanyak) 657 siri tambahan PJR di Sabah”, katanya.

Sehubungan itu, Armizan berharap wakil-wakil rakyat di semua kawasan dapat memberi kerjasama untuk mengenalpasti lokasi golongan sasar yang memerlukan bantuan khususnya dalam konteks pemberian subsidi barangan dijual pada harga diskaun melalui perlaksanaan PJR di kawasan terbabit.

Hadir sama dalam majlis itu, Adun Kunak Datuk Norazlinah Arif, Pegawai Daerah Kunak, Awang Mohd Yusof, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Hussin Mohd Rais, dan pegawai-pegawai KPDN.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, KPDN mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan dan memohon peruntukan tambahan bagi belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen pada Oktober ini.

“Kita telah memohon salah satu komponen itu ialah peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan kepada KPDN bukan hanya untuk PJR, tetapi kita menyasarkan supaya dengan peruntukan bertambah, kekerapan PJR Madani dapat diperbanyakkan lagi di negara ini bukan setakat Sabah, jadi kita harap permohonan ini dipertimbangkan”, katanya. 

Beliau menambah, turut dicadangkan ialah permohonan peruntukan tambahan bagi Program Pengedaran Barangan Perlu khususnya untuk penduduk di pedalaman.

Program ini melibatkan pemberian subsidi kerajaan melalui perlantikan syarikat transporter (pengangkutan) yang memberikan perkhidmatan mengangkut barang-barang perlu dan kawalan yang terpilih daripada pusat atau sumber bekalan (point of source) kepada pusat penjualan (point of sale) di kawasan pedalaman atau luar bandar.

Objektif Program Pengedaran Barangan Perlu adalah untuk memastikan para penduduk di kawasan pedalaman terpilih mempunyai akses kepada sejumlah barangan perlu khususnya barangan kawalan pada harga yang sama yang dinikmati oleh masyarakat atau penduduk di kawasan bandar.

Sementara itu, mengenai program PJR Madani yang diadakan pada Sabtu di Kunak, seorang pengguna Muhammad Rani Mohd Jahani yang juga Ketua Peladang Muda – Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kunak berkata, program tersebut sangat memberi impak yang besar kepada rakyat khususnya golongan B40 melalui pembelian barangan dapur atau keperluan harian.

“Misalnya, minyak masak 5 kilogram yang biasanya pada harga semasa RM30 di pasaran, tetapi hari ini dijual dengan hanya RM20. 

Begitu juga dengan telur ayam hari ini harganya hanya RM15 sepapan berbanding di pasaran semasa nilainya agak berbeza.

Bukan itu sahaja, banyak lagi barangan keperluan harian yang lain boleh diperolehi hari ini dengan harga yang rendah”, katanya kepada Harian Ekspres.

Mohd Rani turut merakamkan penghargaan kepada pihak KPDN dan Adun Kunak yang berjaya mengadakan PJR Madani pada Sabtu dimana ianya julung kali dianjurkan secara mega dengan penyertaan syarikat Bataras Sdn Bhd.

Bataras Superstore Kunak yang turut mengambil bahagian dalam Program Jualan Rahmah (PJR) Madani melanjutkan tempoh program tersebut di premis cawangan mereka di Maganting Plaza pada 29 dan 30 September.

— Ibrahim Tabir

Exit mobile version