Site icon Sabah Baru News

‘Pelaksanaan MA63 amat perlahan’: Jeffrey

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

KOTA KINABALU: Kurang iltizam politik dan cabaran struktur dalam kerajaan persekutuan menyebabkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) amat perlahan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan. 

Beliau menyuarakan kebimbangannya itu walaupun ada jaminan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertindak pantas. 

“Walaupun 11 tuntutan daripada Sabah dan Sarawak dilaporkan sudah diselesaikan, namun banyak elemen penting masih belum ditangani.

“Pelaksanaannya sangat perlahan walaupun PM sudah memberi jaminan,” kata Dr Jeffrey dalam kenyataan pada Isnin.

Namun beliau menegaskan, walaupun kerajaan persekutuan memainkan peranan penting dalam menangguhkan pelaksanaan penuh MA63, tanggungjawab itu juga terletak di bahu pentadbiran negeri pada masa yang lalu.

“Apabila merujuk kepada kerajaan negeri, kita maksudkan ialah keseluruhan tadbir urus di Sabah sejak pembentukan Malaysia. Pentadbiran dahulu, tanpa mengira parti, sering kali terlalu mudah untuk menunda bagi kepentingan persekutuan,” jelasnya.

Mengimbas kekurangan iltizam politik ini, Jeffrey mengimbau kembali zamannya sebagai ahli pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah sekitar 10 tahun lalu.

“Saya selalunya bersuara seorang diri, menyeru agar MA63 dikaji semula oleh persekutuan, tetapi menghadapi tentangan, malah daripada Ketua Menteri ketika itu, yang menolak gesaan sedemikian dengan kenyataan seperti “apa mau review-review?” katanya.

“Terbukti kerajaan persekutuan atau negeri tidak mahu mengetengahkan isu ini.

“Berbanding sekarang, kepimpinan pada masa ini komited secara aktif untuk membawa ke hadapan pelaksanaan perkara MA63.”

Jeffrey bagaimanapun berkata kenyataannya ini bukan menuding jari kepada mana-mana pentadbiran tertentu.

Beliau hanya mahu mengetengahkan isu yang sudah lama berlarutan dan memerlukan kesatuan usaha.

Jeffrey turut melahirkan kebimbangan mengenai pengaruh ‘deep state’ dengan menyatakan penjawat awam sering menggunakan kuasa yang lebih besar daripada menteri, sehingga menghalang pelaksanaan MA63.

Menurutnya , aspek paling kritikal MA63 ialah hak kewangan yang perlu dibayar kepada Sabah.

“Kerajaan persekutuan tidak menunaikan 40 peratus bahagian hasil hutangnya kepada Sabah. Mereka tahu angka itu tetapi enggan memperuntukkan bahagian yang sepatutnya,” katanya.

“Sesetengah pihak berpendapat bahawa memulihkan bahagian ini mungkin menjejaskan kewangan Malaysia, yang menunjukkan kepada kita berapa banyak sebenarnya hasil yang diperoleh dari Sabah.

— TAMAT

Exit mobile version