Site icon Sabah Baru News

Lima pelajar UMS termasuk pelajar bawa karung terima BKNS

Arifin menyampaikan surat tawaran BKNS kepada Rafida (pelajar tular bawa karung daftar masuk UMS)

KOTA KINABALU: Lima pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) termasuk pelajar jurusan perakaunan, Rafida Zaiddin yang tular di media sosial sebelum ini menjadi antara menerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).

Penyerahan BKNS itu disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif di Menara Kinabalu di sini petang kelmarin.

Selain Rafida, empat penerima lain biasiswa itu ialah pelajar jurusan sains bioteknologi, Gene Ashley Rainol, 20 dan Carlsen Chiam, 19; Puteri Dalilah Sabri, 19 (sains komputer) dan Azalina Berson,19 (perakaunan).

Arifin ketika ditemui berkata, pihaknya menyelar dakwaan mengenai BKNS yang ditawarkan kepada Rafida selepas cerita mengenai bagasi karung guni yang digunakan pelajar itu tular sejak kelmarin.

“Anak-anak kita sudah dibantu. Ketika beliau (Rafida) masuk matrikulasi tahun lalu pun kita ada bantu, Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) sebanyak RM1,500. Tahun ini, apabila masuk ijazah juga mendapat RM2,000 melalui BUDI yang merupakan bantuan untuk masuk ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

“Beliau juga menerima BKNS pada tahun ini dan sebenarnya sudah disenaraikan serta diputuskan oleh pihak pengurusan BKNS, di mana jawatankuasanya bersidang dan hari ini juga ada lebih kurang 100 yang akan dibincangkan dan diluluskan,” katanya.

Majlis penyerahan itu turut disaksikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Zainudin Aman.

Arifin yang juga Exco Pendidikan, turut menafikan andaian sesetengah pihak yang kononnya seseorang pelajar perlu membawa karung guni ke universiti bagi mendapatkan perhatian.

Dalam pada itu, Arifin berkata, di UMS saja kira-kira 300 pelajarnya menerima biasiswa daripada kerajaan negeri dan kira-kira 7,000 orang di semua IPT seluruh negara bagi tahun ini.

“InsyaAllah sasaran kita sehingga ke hujung tahun ini seramai 11,000 anak-anak Sabah akan mendapat biasiswa sama ada yang belajar di dalam atau di luar negeri.

“Di Semenanjung dalam jelajah kita sebelum ini, lebih kurang 2,100 pelajar kita luluskan biasiswa, iaitu BKNS juga,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version