Site icon Sabah Baru News

GRS berpotensi meraih kemenangan dengan majoriti besar dengan calon muda

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diyakini mampu meraih kemenangan dengan majoriti yang lebih besar sekiranya gabungan itu menampilkan calon muda di kawasan yang berpotensi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Pemuda GRS Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin berkata, perkara itu tidak mustahil kerana berdasarkan trend pengundi hari ini, calon muda menjadi pilihan mereka berbanding calon yang senior.

“Ini kerana calon muda mempunyai kelebihan yang mana sebahagian besar pengundi iaitu sekitar 40 peratus merupakan pengundi muda dan berdasarkan itu, GRS tentunya dapat meraih kemenangan dengan majoriti yang lebih besar.

“Justeru pucuk pimpinan GRS boleh mempertimbangkan perkara itu untuk mengetengahkan calon muda bagi menarik lebih ramai pengundi daripada golongan muda untuk keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada pilihan raya akan datang, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghubungi Utusan Borneo bagi mengulas mengenai cadangan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan, Mazlan Joehari Manan yang mengesyorkan GRS untuk mengetengahkan calon dari kalangan orang muda di beberapa kerusi berpotensi menjelang PRN nanti.

Tambah Shahril jika pendekatan itu dilaksanakan pimpinan GRS pada PRN nanti, ia diyakini dapat menyumbang kemenangan kepada gabungan yang secara tidak langsung turut memperkukuhkan pengaruh dalam parti-parti komponen.

Mazlan dipetik berkata calon muda yang diketengahkan dalam siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini menyaksikan kemenangan berpihak kepada calon muda semasa PRK Dun Mahkota di Johor yang meraih keputusan dengan majoriti besar mengalahkan calon senior.

Beliau berkata, beberapa siri PRK yang diadakan terdahulu boleh diterjemahkan untuk dijadikan strategi bagi menghadapi pilihan raya kerana trend berkenaan menghasilkan keputusan yang konsisten apabila calon muda diketengahkan.

Oleh itu, Mazlan yakin dan percaya momentum itu akan berterusan menjelang pilihan raya akan datang dan sewajarnya pucuk pimpinan GRS mengambil peluang untuk menggunakan strategi itu untuk meraih kemenangan yang lebih cemerlang.

Tambahan itu Shahril memberitahu sejak GRS mengambil alih tampuk pemerintahan banyak kemajuan telah dicapai terutama dalam aspek pembangunan dan kestabilan politik di Sabah dan itu juga menjadi faktor yang cukup meyakinkan.

“Kepimpinan yang dapat disaksikan hari ini dalam GRS cukup dinamik dengan kerjasama yang strategik, dan itu merupakan ‘kunci’ untuk membawa Sabah ke arah yang lebih mampan dan stabil, ” katanya.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version