Site icon Sabah Baru News

Pindaan undang-undang kewarganegaraan,jejas orang asal Sabah : Jeffrey

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata cadangan pindaan undang-undang kewarganegaraan mempunyai aspek baik dan buruk.

“Ia baik kerana ia tidak membenarkan Pemastautin Tetap (PR) Malaysia menjadi warganegara secara automatik (terutama jika mereka warga asing).

“Tetapi ia juga buruk atau merugikan kepada rakyat kita sendiri yang menjadi tanpa kerakyatan atau sebagai PR sahaja kerana mereka tidak mempunyai akses kepada pendaftaran atau dokumentasi semasa kelahiran mereka … tiada jalan atau alat pengangkutan; tiada hospital dan tiada pusat pentadbiran atau kemudahan disediakan kerana jaraknya yang jauh, dan sebagainya…, terutamanya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

“Ironinya keadaan ini memberi kesan kepada kebanyakan penduduk asli. kenapa? Kerana orang asal Sabah sepatutnya menjadi warganegara Malaysia secara automatik tetapi dengan kesukaran mereka tidak mempunyai dokumen untuk kelahiran dan perkahwinan mereka (kerana mereka tidak mempunyai akses ke hospital dan tiada perkhidmatan pentadbiran yang terletak di kampung terpencil tanpa jalan raya, dan sebagainya).

Beliau menjawab pertanyaan Daily Express mengenai kenyataannya baru-baru ini, yang memetik beliau sebagai berkata Sabah harus dikecualikan daripada peruntukan cadangan pindaan undang-undang kewarganegaraan tersebut.

Cadangan pindaan undang-undang kewarganegaraan dijangka dibawa ke Dewan Rakyat bulan ini.Antara pindaan itu ialah cadangan menghapuskan kewarganegaraan automatik bagi anak yang dilahirkan kepada pemastautin tetap Malaysia.

Jeffrey berkata anak-anak pemegang PR tempatan Malaysia akan menanggung akibat daripada pindaan ini.

“Kewarganegaraan melalui pendaftaran hendaklah hanya terpakai kepada warga asing yang menjadi PR…Kewarganegaraan mengikut kuat kuasa undang-undang harus terus terpakai kepada anak-anak kelahiran Malaysia, termasuk mereka yang tidak berkewarganegaraan kerana keadaan yang tidak diingini.

“Malangnya, pindaan ini adalah menyeluruh…anda tidak boleh memilih…dengan mengeluarkan kewarganegaraan automatik, orang asal Sabah dan Sarawak akan terjejas teruk,” katanya.

“Bagaimana? Mereka perlu mendapatkan/memohon kewarganegaraan melalui pendaftaran…ini akan menjadi sukar bagi mereka kerana mereka tidak mempunyai dokumen untuk menyokong permohonan mereka,” tambahnya.

“Malangnya, kita mempunyai kelemahan dalam pentadbiran. Satu contoh ketara ialah beberapa adik-beradik dalam satu keluarga adalah warganegara, sementara beberapa lagi tidak,” katanya.

Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024, yang dibentangkan untuk bacaan kali pertamanya di Dewan Rakyat pada 25 Mac, juga akan memberikan kewarganegaraan kepada anak warganegara Malaysia yang dilahirkan di luar negara dan menurunkan had umur untuk memohon kewarganegaraan melalui pendaftaran daripada 21 kepada 18 tahun.

Pada Julai lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi walaupun mendapat maklum balas positif daripada Majlis Raja-Raja.

— Sherell Jeffrey

Exit mobile version