BISNES digital kian melebar. Rempuhannya kuat. Tidak terbendung lagi. Yang lemah akan tenggelam jika tidak dapat mengadaptasinya. Itulah evolusi bisnes era Industri 4.0 yang menuntut semua orang bergerak ke arah digitalisasi.
Perusahaan tidak lagi memerlukan ramai petugas. Yang diperlukan adalah petugas berkemahiran berorientasi digital mencakupi pelbagai sektor.
Ini kerana manual `business as usual’ kini ditransformasikan menjadi bisnes digital. Semuanya di hujung jari, di atas paparan skrin berkomputer.
Bagi membangun perniagaan atau perusahaan era Industri 4.0 ini, adalah penting bagi institusi pengajian tinggi menyediakan modal insan berfikiran sebagai pembisnes digital.
Sumber daya manusia sedemikian perlu bagi mendukung perubahan konsep perniagaan akibat rempuhan global gelombang digitalisasi.
Seiring matlamat digitalisasi ini, kerajaan Sabah menyediakan pelbagai inisiatif untuk membudayakan pembayaran tanpa tunai, sekali gus mengupayakan terimaan hasil negeri.
Antara inisiatif itu termasuk Aplikasi Sabah Pay yang dilancarkan oleh Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) dan inisiatif terbaharu, iaitu YONO (You Only Need One).
Surat pekeliling telah dikeluarkan pada 1 Disember 2022 oleh Kementerian Kewangan Negeri sebagai panduan untuk agensi-agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan C2G (Customer To Government) dan B2G (Business To Government).
Antara mod pembayaran yang diterima adalah Kad Kredit, Kad Debit, Kad Caj, e-Dompet dan khidmat perbankan internet yang tersedia.
Langkah yang diperkenalkan itu dapat menggarap pembangunan ekonomi digital, sekali gus membantu perusahaan atau perniagaan yang belum bergaya bisnes digital.
Seiring berjalannya waktu, kerajaan Sabah terus memperkasa usaha menjurus ke arah pembangunan ekonomi digital, termasuk mengintegrasi teknologi dan inovasi.
Terbaharu, Sabah melangkah setapak lagi. Selain bersedia menjadi hab kemajuan teknologi, Sabah turut menyatakan komitmen membangunkan ekonomi berorientasikan masa depan melalui inovasi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri telah merangka visi yang jelas untuk memastikan Sabah menjadi sebuah hab inovasi yang dinamik dan berdaya saing di rantau ini.
Ketika merasmikan program `Supercharger Sabah 2024′ di UMS pada Selasa, beliau mengambil contoh pelaksanaan ke arah itu menerusi agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berfokus tiga teras penting ekonomi.
Dalam hal ini, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalankan pelbagai aktiviti untuk membantu industri dan masyarakat di Sabah melalui pengkomersialan inovasi dan pemindahan pengetahuan kepada masyarakat.
Sehingga kini, UMS telah mewujudkan ekosistem yang komprehensif untuk memperkukuh penyelidikan dan inovasi melalui penubuhan empat kluster penyelidikan iaitu Kejuruteraan dan Teknologi, Perubatan dan Sains Hayat, Alam Sekitar dan Sains Gunaan serta Seni, Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Hakikatnya, komitmen kerajaan menjadi hab kemajuan teknologi dan inovasi mampu menjadi pemangkin bagi Sabah membangun ekonomi digital dalam tempoh terdekat, di tengah-tengah gelombang digitalisasi.
Semua usaha ini menjadi langkah perjalanan awal ke arah membangunkan pembisnes digital era Industri 4.0, berpaksi satu daripada tiga elemen utama SMJ — iaitu penstrukturan semula ekonomi Sabah.