Site icon Sabah Baru News

MA63 memposisi Sabah, Sarawak sebagai rakan strategik

YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Hajiji (Kanan), Fadillah (belakang) dan Abang Johari (kiri) menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2024 di Kota Kinabalu, Sabah, 12 September, 2024. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri.

DALAM bingkai perlembagaan negara, tertulis jelas status-quo Sabah dan Sarawak yang membentuk negara berpersekutuan dikenali Malaysia.

Di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terpatri status hak dan keistimewaan kedua-dua negeri di Borneo itu, baik dari segi pentadbiran perundangan mahupun perekonomian.

Malaysia dibangun hasil gabungan tiga entiti wilayah – Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah (dulu Borneo Utara).  Singapura yang mulanya turut sama menyatu, kemudian mengambil keputusan berpisah pada 1965.

Bertatih dari sebuah negara yang baharu bebas daripada penjajahan, Malaysia sejak itu (1963)  terus bangkit dan bergerak dengan pantas di bawah kepemimpinan 10 Perdana Menteri sehingga hari ini.

Tahun ini, Malaysia meraikan 61 tahun penyatuan ini dengan sambutan Hari Malaysia penuh warna-warni di Kota Kinabalu pada 16 September lepas.

Selepas enam dekad berlalu, kedudukan Sabah dan Sarawak semakin mendapat perhatian dan layanan dari Putrajaya biarpun terpisah jauh  di seberang Laut China Selatan.

Menerusi Majlis Tindakan Pelaksana Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), usaha terus diperkasa bagi memenuhi intipati MA63 sebagaimana tertulis dalam bingkai perlembagaan negara yang disepakati bersama, dalam konteks sebuah negara ber-Persekutuan bernama Malaysia.

Komitmen Kerajaan Persekutuan merealisasikan MA63 kini semakin nyata, terutama dalam tempoh dua tahun kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

EWON

Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1 2024 di Kota Kinabalu pada 12 September lepas, menghuraikan perincian mengenai usaha yang sudah dilaksanakan kerajaan menangani dan menyelesaikan tuntutan berkaitan MA63 bagi kepentingan Sabah dan Sarawak.

Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri dan turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, pemimpin asal Sarawak.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Mesyuarat MTPMA63 itu mengulangi komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan tuntutan di bawah MA63 diselesaikan dengan segera demi kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya.

RAMZAH

Ia menyatakan bahawa tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau dalam platform rundingan lain.

Ia termasuk menerusi Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 yang dipengerusikan Fadillah, dan beberapa Jawatankuasa Kerja yang ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi berkaitan, bertujuan memastikan tuntutan berkenaan diambil tindakan sewajarnya.

Dalam sidang akhbarnya selepas mesyuarat itu, Fadillah menyatakan terdapat 11 tuntutan di bawah platform rundingan MA63 telah berjaya diselesaikan sehingga kini.

Tujuh daripadanya dirungkai di bawah kepemimpinan Perdana Menteri ke-10, satu di bawah Perdana Menteri Ke-8 dan tiga di bawah Perdana Menteri Ke-9.

Tujuh yang diselesaikan Perdana Menteri sekarang ialah Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak sebagai Jabatan Teknik; Penyerahan Kuasa Kawal Selia Bekalan Gas;  dan Pindaan Akta LHDN 1995 [Akta 533] bagi Melantik Wakil Kerajaan Negeri Sabah Dan Sarawak Sebagai Anggota Tetap LHDN.

NEWMOND

Yang lain termasuk Pentadbiran Badan Kehakiman di Sabah dan Sarawak; Garis Panduan Khas Penyerahan Semula Tanah Direzabkan Bagi Maksud Persekutuan di Negeri Sabah dan Negeri Sarawak; Penyerahan Kuasa Kawal Elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Daripada Kerajaan Persekutuan Kepada Kerajaan Negeri Sabah; dan Cadangan Pindaan Perkara 95B Mengenai Ubah Suaian Bagi Negeri Sabah Dan Sarawak Mengenai Pembahagian Perundangan.

Satu isu yang diselesaikan sewaktu zaman Perdana Menteri Ke-8 ialah Penyerahan Kuasa Kawal Selia Liquefied Petroleum Gas (LPG) kepada Kerajaan Negeri Sarawak.

Manakala tiga isu diselesai waktu zaman Perdana Menteri Ke-9 ialah Penyerahan Kuasa Ke Atas Pentadbiran Pulau Sipadan Dan Pulau Ligitan Kepada Kerajaan Negeri Sabah; Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) Dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan; dan Pemberian Kuasa (Empowerment) Mengenai Pelesenan Dan Penangkapan Ikan Laut Dalam Kepada Kerajaan Negeri Sabah Dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Dalam pada itu, Fadillah turut mengumumkan beberapa khabar gembira, antaranya jumlah peruntukan interim kepada Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM600 juta mulai tahun 2025.

Tahun lepas, jumlah peruntukan interim untuk Sabah dan Sarawak adalah sebanyak RM300 juta.

Peruntukan interim sepatutnya disemak dalam lima tahun, namun perkara mengenai kenaikan itu diputuskan Perdana Menteri pada mesyuarat kali ini.

Dalam pada itu, pemimpin Sabah mengalu-alukan komitmen kerajaan Pusat merealisasikan tuntutan terkandung dalam MA63.

Secara spesifik, Hajiji berkata kerajaan negeri menyambut baik pemberian geran khas interim dinaikkan sekali ganda kepada RM600 juta.

Lee

Sambil menyatakan rasa syukur dan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman itu, beliau berkata ia adalah pengiktirafan terhadap keperluan pembangunan selain keseriusan kerajaan Persekutuan menunaikan tanggungjawabnya kepada negeri ini.

Hajiji turut merakamkan penghargaan atas isu-isu di bawah MA63 yang telah diselesaikan termasuk penyerahan kuasa mengawal selia industri bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui kepada Sabah pada awal tahun ini serta penurunan kuasa.

“Saya berharap semua isu yang belum selesai akan terus diusahakan dan dilaksanakan demi kebaikan kedua-dua pihak,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyifatkan peningkatan pembayaran khas interim untuk Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta tahun ini kepada RM600 juta mulai tahun depan, sebagai satu pengiktirafan kepada tuntutan hak 40 peratus Sabah.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas keputusan itu.

“Dengan adanya perakuan atau pelaksanaan pembayaran interim, kita (kerajaan) sudah mengiktiraf hak itu dalam perlembagaan, yang akan berlaku seterusnya ialah perbincangan berterusan antara kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

“Saya percaya kerajaan yang ada pada hari ini membuka ruang seluas-luasnya kepada perbincangan ke atas isu ini (hak 40 peratus),” katanya.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata kerajaan pada hari ini lebih serius dari segi komitmen merealisasikan perkara terkandung dalam MA63.

AZIZAH

Katanya, perkara lain yang belum dimuktamadkan melibatkan mekanisma yang perlu dibincang dan dipersetujui bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, pelbagai pihak berharap kerajaan meneruskan komitmen dalam merealisasikan tuntutan terkandung dalam MA63.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Dr Ramzah Dambul, mengakui sejak kerajaan Madani di bawah PMX mengambil alih, terdapat perkembangan signifikan dalam usaha menunaikan MA63 terutama dari segi iltizam politik.

Katanya, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memperlihatkan komitmen yang lebih jelas untuk mengembalikan hak-hak yang termaktub.

Beliau berkata antara pencapaian utama termasuklah pemindahan kuasa tertentu seperti kawalan terhadap sumber-sumber asli dan isu-isu perjawatan dalam perkhidmatan awam di Sabah dan Sarawak.

“Perbincangan-perbincangan yang lebih terbuka dan telus juga telah dijalankan atas platform jawatankuasa rasmi yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dari Borneo, memperlihatkan kesungguhan kedua-dua pihak dalam memajukan agenda ini,” katanya.

Ramzah juga berkata MA63 turut meningkatkan hak autonomi bagi rakyat Sabah dan Sarawak walaupun belum dicapai sepenuhnya mengikut aspirasi Borneo yang tuntas.

Yang jelas, katanya, MA63 telah membuka jalan kepada peningkatan hak autonomi bagi rakyat Sabah dan Sarawak.

“Di bawah kepimpinan PMX dan GRS, kita sudah mula melihat penurunan kuasa autonomi beberapa aspek tertentu dalam bidang strategik seperti pendidikan dan kesihatan.

“Sebagai contoh, Sabah kini diberi lebih kebebasan dalam menentukan hala tuju projek pembangunan dan pengurusan sumber asli negeri.

“Langkah-langkah ini bukan sahaja mengembalikan hak yang dijanjikan, tetapi juga meningkatkan rasa percaya dan keyakinan rakyat terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk memartabatkan MA63,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pelaksanaan penuh MA63 dapat dicapai dalam masa yang terdekat, dengan mengambil kira kepentingan semua pihak secara seimbang.

Anna Bell Perian

“Dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh kerajaan Madani pimpinan PMX dan GRS pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji, saya percaya kita berada di landasan yang terbaik berbanding tahun-tahun dahulu.

“Apa yang penting sekarang ialah memastikan pelaksanaan diteruskan secara berperingkat dan terancang, agar segala keputusan yang diambil benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Sabah dan Sarawak, khususnya dalam aspek ekonomi, infrastruktur, dan perkhidmatan awam,” katanya.

Ramzah juga melihat pendirian Kuala Lumpur, khususnya di bawah kerajaan PMX, menunjukkan keseriusan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam memenuhi harapan Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, keikhlasan ini dapat dilihat melalui penubuhan jawatankuasa khas bagi meneliti dan melaksanakan perkara-perkara di bawah MA63, selain daripada lawatan kerap pemimpin tertinggi ke negeri-negeri Borneo untuk berdialog dengan pemimpin tempatan.

“Dalam dua tahun kebelakangan ini, di bawah pimpinan PMX juga, ada banyak program nasional diadakan di Sabah dan Sarawak.

“Langkah-langkah ini membuktikan bahawa kerajaan pusat tidak lagi hanya melihat Sabah dan Sarawak sebagai wilayah di pinggiran, tetapi sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara.

“Dengan momentum positif ini, rakyat Sabah dan Sarawak boleh menaruh harapan tinggi bahawa hak dan kepentingan mereka akan terus dipelihara dan diperkukuhkan,” katanya.

Presiden Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (PEKADIN), Newmond Tibin, juga melihat PMX sebagai pemimpin yang `hebat’, berjiwa rakyat, berpandangan jauh dan berwibawa, serta boleh diumpamakan sebagai ‘mutiara’ untuk rakyat pelbagai kaum di negara ini yang mengamalkan kesederhanaan.

Katanya, dalam konteks pencapaian MA63, Anwar telah menunjukkan ketokohan dan kejayaan luar biasa yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin negara sebelum ini.

“Contohnya dalam tempoh dua tahun sahaja, kerajaan perpaduan Madani pimpinan Anwar telah berjaya menyelesaikan tujuh daripada 11 tuntutan dalam rundingan MA63.

“Ini termasuk memastikan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri, sebaliknya, wilayah,” katanya.

Newmond yang juga mantan penjawat awam dan pengamal media berkelulusan undang-undang berkata kerajaan Madani sentiasa mendengar keluhan rakyat Sabah dan Sarawak yang menuntut agar diberikan hak autonomi.

Secara spesifik, ia berkaitan penurunan kuasa dalam perkara tertentu yang dilihat dapat mempermudahkan pelaksanaan projek di peringkat negeri Sabah dan Satawak.

“Ini terbukti apabila Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kewangan menyerahkan kuasa meluluskan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada pentadbiran Sabah dan Sarawak. Ini tidak termasuk penyerahan SESB kepada kerajaan Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Madani dapat menyelesaikan isu tuntutan 40 peratus hasil atau geran Khas Sabah di bawah MA63.

Katanya, memandangkan perkara itu temaktub dalam perlembagaan, maka ia wajib ditunaikan.

“Oleh itu, adalah penting perkara ini diberi perhatian sewajarkan oleh Kerajaan Persekutuan, dan saya berharap isu ini dapat diselesaikan sebelum pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Newmond turut melihat Kerajaan Persekutuan begitu serius dalam melakukan yang terbaik khususnya untuk rakyat Sabah.

“Daripada segi bajet pembangunan, misalnya Kerajaan Persekutuan menambah peruntukan dalam Belanjawan 2024 untuk pembangunan di negeri ini kepada RM6.6 bilion.

“Jumlah ini adalah tertinggi yang pernah diberikan kepada Sabah sejak 1963,” katanya.

Selain itu, katanya, Perdana Menteri turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemimpin nombor 1 negara yang pertama menaikkan pemberian khas kepada RM600 juta bermula tahun depan.

“Perdana Menteri telah memberi peruntukan sekitar RM300 juta untuk menangani masalah air di Sabah dan ini tidak termasuk pelbagai projek lain untuk kebaikan rakyat Sabah, seperti penubuhan Pusat Jantung Negara di Queen Elizabeth II,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Azizah Mohd Dun, optimis Perdana Menteri dan Persekutuan serta pimpinan negeri Sabah komited dalam usaha merealisasikan MA63.

“Perdana  Menteri dan Kerajaan Persekutuan perlu melihat isu ini dan soal pemulangan 40 peratus hasil negeri dengan serius, termasuk mengambil tindakan dan langkah yang jelas ke arah menunaikannya secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata soal pemulangan 40 peratus yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia daripada pendapatan yang dikutip di Sabah, perlu ditunaikan tanpa berlengah-lengah.

“Untuk mencapai pembangunan seimbang dengan rakan-rakan lain dalam Malaysia, semestinya Sabah mendapat peruntukan pembangunan lebih besar berbanding sebelum ini,” katanya.

Justeru, katanya, setelah 61 tahun tertubuhnya Malaysia, rakyat dan negeri Sabah hendaklah mencapai kemajuan seimbang dengan rakan-rakan lain dalam Malaysia.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung dari Program Komunikasi Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga optimis mengenai penyelesaian tuntutan MA63 berikutan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Pusat.

Katanya, hubungan antara kerajaan Sabah-Persekutuan perlu ditelusuri dari sejarah pembentukan Malaysia itu sendiri bermula dari MA63 yang merangkumi janji hak-hak Sabah Sarawak.

“Apa ertinya perjanjian tersebut sekiranya Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara tidak dipatuhi?

“Pemulangan 40 peratus hasil dikutip kerajaan Persekutuan di Sabah secara terang-terangan termaktub dalam Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, hal itu mengingatkannya terhadap ungkapan keramat daripada Tun Jugah (pemimpin dari Sarawak) yang berbunyi ‘anang Malaysia baka tebu, manis dipun tabar di hujung’ yang bermaksud `jangan Malaysia seperti tebu, manis di pangkal tawar di hujung.’
Lee bersikap positif terhadap penyelesaian tuntas isu berkaitan MA63 dalam kepemimpinan kerajaan hari ini.

Baginya, terdapat usaha berterusan untuk menyelesaikan beberapa isu berkaitan MA63 di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hj. Hajiji Hj. Noor dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terutamanya yang melibatkan hak hasil minyak, pengurusan autonomi dan pengagihan kuasa.

“Komitmen kedua-dua pemimpin ini dilihat positif dengan Perdana Menteri sering menyatakan sokongan kepada pemerkasaan Sabah dan Sarawak menerusi pemulihan hak-hak MA63 meskipun realisasi sepenuhnya masih memerlukan usaha berterusan.

“Ini termasuklah negosiasi berterusan antara kerajaan negeri dan Persekutuan serta memastikan janji-janji yang dipersetujui dapat diterjemahkan ke dalam tindakan yang memberi faedah kepada rakyat Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Senator Annabell Perian, pula berkata penyelesaian terhadap isu berkaitan MA63 mempunyai sinar harapan yang cerah.

Ini kerana wujudnya hubungan Sabah-Persekutuan dan negeri jiran Sarawak yang cukup baik, terjalin erat dan saling melengkapi antara satu sama lain.

“Perbezaan kebudayaan, kepercayaan, adat resam itu menjadikan hubungan antara negeri menjadi tali penguat silaturrahim dan kita seolah-olah saling menlengkapi sehingga negara luar juga mengagumi Malaysia dengan kepelbagaian kaum dan agama.

“Jika dilihat pada konteks pentadbiran dan hubungan dua hala antara Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah juga terjalin persefahaman yang erat.

“Kerajaan Persekutuan cukup komited  dalam menyelesaiakan semua tuntutan dalam MA63 mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada melalui Jawatankuasa Teknikal MTPMA63,” katanya.

Menurutnya, di bawah Kerajaan Perpaduan kini dapat dilihat jelas bagaimana beberapa tuntutan dalam MA63 berjaya diselesaikan sepenuhnya.

Ia termasuk pemberian kuasa penuh kepada Sabah dalam pelesenan dan penangkapan ikan laut, bekalan gas, kawal selia bekalan elektrik, badan kehakiman dan beberapa perkara lagi.

“Selain itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri masih dalam proses berterusan menyelesaiakan beberapa tuntutan termasuk tuntutan 40% hasil Sabah yang hangat dibicarakan,” katanya.

Hakikatnya, komitmen dan usaha kerajaan hari ini untuk merealisasikan MA63 membawa sinar harapan bagi kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak.

Pelaksanaannya bermakna tahap pembangunan menjadi seimbang dan akan melebar, justeru jurang perbezaan di antara ketiga-tiga wilayah ini akan terus mengecil.

Jumlah 11 tuntutan di bawah platform rundingan MA63 yang telah berjaya diselesaikan sehingga kini, adalah manifestasi jelas adanya `cahaya di hujung terowong’ dalam perjalanan Malaysia mencapai status negara maju.

 

*Datuk Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.

 

 

 

Exit mobile version