Site icon Sabah Baru News

Peluang pelaburan besar dalam Ekonomi Biru: Hajiji

ALBUM: Anwar (tengah), Hajiji (empat kiri) bersama para tetamu kehormat merakamkan gambar kenangan bersama para peserta dalam program berkenaan.

KOTA KINABALU: Sabah menawarkan peluang pelaburan yang besar dalam Ekonomi Biru.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, potensi hasil tahunan Ekonomi Biru Sabah dalam sektor ikan dan udang dianggarkan melebihi 491,000 tan metrik, dengan nilai RM3.25 bilion.

“Tetapi sehingga kini, kurang daripada 50 peratus daripada hasil tangkapan yang berpotensi telah diterokai. Walaupun terdapat lebih daripada 3,000 kapal nelayan di luar sana, tetapi kebanyakannya beroperasi dalam lingkungan 30 batu nautika dari pantai.

“Pada masa ini, hanya tujuh kapal meneroka ke kawasan laut dalam. Ini adalah peluang untuk industri nelayan untuk mewujudkan lebih banyak kemudahan pemprosesan hasil laut dalam.

“Autonomi yang diberikan kepada Sabah untuk meluluskan dan mengeluarkan lesen bagi aktiviti maritim seperti penangkapan ikan laut dalam, adalah satu kelebihan kepada negeri ini dalam usaha kita untuk membangunkan Ekonomi Biru,” katanya pada Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 yang diadakan pada Sabtu di sini.

Bagaimanapun katanya, Ekonomi Biru bukan hanya mengenai penangkapan ikan laut dalam.

“Malah, terdapat 14 komponen dalam Ekonomi Biru yang boleh diterokai. Antaranya ialah tenaga boleh diperbaharui dari lautan, karbon biru, pelancongan, pengangkutan maritim dan bioteknologi marin serta banyak lagi,” katanya.

Hajiji berkata, terdapat juga kemungkinan untuk mengusahakan pendekatan penjanaan tenaga melalui lautan.

“Pada April lepas, kerajaan negeri meluluskan Enakmen Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC) 2024 yang membolehkan Suruhanjaya Tenaga Sabah meneroka sumber berkenaan sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Hajiji menjelaskan bahawa teknologi OTEC menggunakan perbezaan suhu antara permukaan lautan yang panas dan air dalam yang sejuk untuk menjana elektrik tanpa memerlukan bahan api.

“Ia mempunyai kesan alam sekitar yang rendah dan boleh menghasilkan air bersih untuk diminum dan pertanian. Ia juga boleh menyediakan proses pembekuan dan penyejukan, serta tenaga yang boleh dipercayai untuk komuniti pesisir pantai.

“Sabah mempunyai garis pantai lebih daripada 1,700 kilometer dan 75 peratus daripada rizab Tenaga Haba Laut adalah di Malaysia,” katanya, sambil menambah bahawa kajian telah menunjukkan Sabah boleh menghasilkan sejumlah 20,000MW elektrik.

“Kerajaan negeri sedang mencari kerjasama dengan pelabur untuk menjana tenaga ini. Ini juga merupakan peluang keemasan untuk Sabah menjadi peneraju dalam menjana tenaga hijau yang boleh menyelesaikan banyak masalah bekalan kuasa di Sabah.

“Pada masa depan, kita mungkin boleh membekalkan elektrik kepada jiran kita, seperti Indonesia, disebabkan oleh kedudukan lembangan OTEC kita yang berdekatan dengan Kalimantan di Indonesia,” katanya.

Hajiji berkata, Sabah telah mengambil langkah-langkah yang menjadikan pelaburan sangat menarik di Sabah.

“Antaranya, ialah Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,083 km, lebuh raya terpanjang di Malaysia yang kini dalam pembinaan, menjanjikan perubahan besar kerana ia akan menghubungkan Sabah dengan Sarawak, Brunei dan Indonesia apabila siap nanti.

“Sabah juga sedang memanfaatkan kerjasama dengan DP World, peneraju global dalam hab logistik, untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kapasiti terminal Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, sekali gus mengurangkan kos logistik semasa dan membangunkannya sebagai hab perdagangan serantau utama, terutamanya untuk wilayah BIMP-EAGA,” katanya.

Beliau berkata, Sabah juga telah melancarkan Pelan Induk dan Sabah Energy Roadmap bagi memastikan bekalan kuasa yang stabil dan boleh dipercayai dalam tahun-tahun akan datang.

“Kami sudah bersedia untuk menjana 700MW dalam tempoh dua tahun akan datang untuk memenuhi permintaan awal.

“Kami juga sedang menerokai tenaga hidro, turbin angin, tenaga solar dan OTEC untuk meningkatkan lagi bekalan. Jika Sabah membangunkan sektor tenaga hijau sepenuhnya, negeri ini berpotensi untuk menyediakan sehingga 75 peratus daripada tenaga hijau negara,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan besar juga telah diperuntukkan untuk menangani masalah kekurangan air, dengan sebahagian daripadanya ditujukan kepada penyelesaian segera dan jangka pendek.

“Projek Ulu Padas, sebuah loji kuasa hidro yang dirasmikan oleh Perdana Menteri pada bulan Disember tahun lalu dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

“Ia akan menjana 187MW kuasa dan membekalkan sehingga 6,000 juta liter air sehari, jauh melebihi keperluan semasa kami sekitar 1,600 juta liter sehari (MLD).

“Ini adalah pelan jangka panjang kami untuk memastikan bekalan air untuk 80 sehingga 100 tahun akan datang,” katanya.

Hajiji memberi jaminan bahawa kerajaan negeri dibawah kepimpinannya akan memudahkan pelaburan dengan cekap.

“Saya telah mengarahkan pasukan saya untuk menubuhkan pasukan petugas bagi menangani semua keperluan perniagaan anda, supaya anda tidak perlu berdepan dengan kelewatan untuk memulakan perniagaan anda.

“Contoh yang baik ialah pelaburan Sabah Kibing Solar dan SK Nexilis Copper Foil, yang hanya mengambil masa lapan bulan untuk memulakan operasi,” katanya.

Hajiji yakin bahawa SIBEC 2024 akan menjadi pemangkin untuk memajukan Ekonomi Biru negeri ini, menjadi platform untuk berinteraksi dengan ilmu pengetahuan global dalam bidang ini, menarik pelabur tempatan dan antarabangsa serta pemain industri.

Hadir merasmikan program berkenaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

— TAMAT

Exit mobile version