Site icon Sabah Baru News

Syarikat Sabah buktikan layak dapat kontrak utama OGSE

ANUGERAH: Masidi (dua kiri) bersama wakil syarikat tempatan yang menerima kontrak besar utama dalam OGSE.

KOTA KINABALU: Beberapa syarikat tempatan Sabah berjaya melakar sejarah dalam industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) selepas dianugerahkan kontrak besar utama, termasuk beberapa yang pertama dalam kategori kerja tertentu sejak beberapa bulan lepas.

Kontrak berkenaan termasuk dalam bidang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan, penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian, penyelenggaraan pemulihan, perkhidmatan telaga bersepadu, logistik pihak ketiga dan pembekalan kapal laut.

Pemberian kontrak baharu berkenaan dijangka menjana kira-kira 1,000 peluang pekerjaan untuk syarikat Sabah melibatkan pelbagai bidang kemahiran dan disiplin kerja.

Di bawah pentadbiran kerajaan negeri, kejayaan ini didorong oleh kerjasama strategik dengan penyedia perkhidmatan teknikal yang berpengalaman serta komitmen untuk mencipta pekerjaan tempatan.

Selain itu, ia turut memberi tumpuan untuk menerokai bidang baharu dalam perkhidmatan OGSE tanpa menjejaskan kos, keselamatan, kualiti dan jadual projek .

Selepas Perjanjian Kerjasama Komersial di antara kerajaan negeri dan PETRONAS pada Disember 2021, nilai kontrak tempatan dalam OGSE di Sabah meningkat daripada RM341 juta kepada RM780 juta dan jumlah kontraktor tempatan daripada 263 kepada 475 pada 2023.

Menteri Kewangan yang juga Pengerusi SMJ Energy Sdn Bhd Datuk  Seri Panglima Masidi Manjun dalam kenyataannya berkata, pencapaian itu sememangnya sesuatu yang luar biasa untuk Sabah kerana berjaya membuktikan syarikat tempatan mampu bersaing dalam liga besar OGSE.

“Saya berharap trend peningkatan penyertaan tempatan dalam OGSE akan terus meningkat dan lebih ramai rakyat Sabah terus merebut peluang dan memanfaatkan industri minyak dan gas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif OGSE dan Korporat SMJ Energy Terry Biusing berkata, syarikat Sabah kini memperoleh bahagian yang lebih besar daripada kontrak OGSE tempatan di Sabah.

“Unjuran hasil untuk syarikat OGSE Sabah dijangka melebihi RM2 bilion pada 2024, dengan lebih 60 syarikat meraih antara RM1 juta hingga lebih RM300 juta hasil sehingga Ogos 2024,” katanya.

— Siti Aisyah Narudin

Exit mobile version