KOTA MARUDU:Wad Kanak-kanak Hospital Kota Marudu menerima sumbangan 200 kotak lampin pakai buang daripada syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC).
Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata, sumbangan berkenaan dapat membantu pesakit terutama wad kanak-kanak yang tentunya memerlukan lampin pakai buang.
“Kita amat menghargai sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) KTC untuk membantu terutama wad kanak-kanak di hospital yang terlibat.
“Program ini diadakan bagi menambah aktiviti kemasyarakatan dan mengeratkan hubungan baik sesama kakitangan hospital serta merupakan satu program khidmat komuniti yang baik dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Kita seharusnya memberi sokongan penuh untuk program-program seperti ini dan berikrar akan terus membantu sedaya yang boleh bagi menjayakan program berbentuk kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan program amal di Hospital Kota Marudu, di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif KTC Berhad, Datuk Dexter Lau berkata, sebanyak 200 kotak bersamaan 1,600 pek lampin pakai buang jenama ‘UNIDRY Happy Baby Pants’ diagihkan kepada golongan memerlukan khususnya Hospital Kota Marudu dan beberapa Klinik Kesihatan di kawasan berkenaan.
Turut menerima sumbangan dalam lawatan program amal yang diserahkan oleh Redonah dan Dexter, termasuk Wad Kanak-kanak di Hospital Lotong, Klinik Ibu dan Anak serta Pejabat Kesihatan Kota Marudu.
— Liza Din