Site icon Sabah Baru News

Program Literasi Kewangan BSN berfaedah kepada penduduk luar bandar

PENGHARGAAN: Khairul Hazwani menyampaikan cenderahati kepada Yusof.

SIPITANG: Pelaksanaan program literasi kewangan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi Bank Bergerak dapat membantu usaha kerajaan memberi pendidikan pengurusan kewangan peribadi dan keluarga di kawasan luar bandar.

Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad Datuk Dr Yusof Yacob yang mengalu-alukan pelaksanaan program itu berkata, ini merupakan program yang sesuai dengan keperluan semasa dalam pengurusan kewangan untuk masyarakat memahami literasi kewangan.

“Saya mengalu-alukan acara seperti ini di kawasan luar bandar dan sepatutnya inilah kita buat dari dahulu kerana keadaan semakin hari semakin mencabar.

“Literasi kewangan ini sangat penting untuk apa-apa tujuan termasuk perniagaan, pengurusan keluarga dengan masalah bebanan kewangan itu dapat diatasi atau dihindarkan daripada menjadi semakin teruk,” katanya ketika merasmikan Program Bulan Literasi Kewangan Inisiatif Bank Bergerak BSN Sabah di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah BSN Negeri Sabah Khairul Hazwani Nordin dan Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Sabah Maju Jaya Ramlee Kariah.

Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berharap dengan ceramah, penerangan dan cara-cara mengurus kewangan peribadi dan keluarga akan memberi kesejahteraan kepada rakyat khususnya di kawasan yang dilawati.

Katanya, penglibatan anak-anak sekolah dari peringkat sekolah rendah dan menengah dapat memberi perkongsian berguna kepada mereka mengenai literasi kewangan yang baik.

Pada masa sama, beliau menggalakkan masyarakat Sipitang membuka akaun di BSN kerana bank ini mempunyai perkhidmatan yang luas dengan cawangannya ada di semua daerah di negeri ini.

— TAMAT

Exit mobile version