KOTA KINABALU: Pembinaan rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan Kerajaan Sabah merupakan satu usaha bagi membantu rakyat memperoleh kediaman yang lebih selesa.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Usukan, Datuk Japlin Akim berkata, pembinaan itu juga merupakan salah satu usaha Kerajaan bagi membasmi miskin tegar.
Katanya, isu perumahan sememangnya merupakan satu isu yang menjadi perhatian umum.
“Pembinaan Rumah SMJ adalah usaha oleh pihak kerajaan bagi menangani masalah perumahan rakyat terutama kepada golongan berpendapatan rendah seperti B40”, katanya.
Tambahnya, pelaksanaan inisiatif untuk manfaat rakyat itu sejajar dengan usaha berterusan kerajaan negeri pimpinannya dalam membela nasib rakyat dan membawa pembangunan di negeri ini.
Beliau berkata demikian selepas penyerahan kunci Rumah SMJ di Kg Pirasan dan beberapa buah kampung di Kg Kulambai Dundau, Kg Ambong, Kg Lantiggi, Kg Kulambai, Kg Kulambai Kupang dan Kg Kuala Abai, Kg Kota Belud dan Kg Suang Pungur, Kota Belud.
Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah mengumumkan pembinaan rumah SMJ melibatkan kos sebanyak RM250 juta untuk tahun depan dan akan membina 3,000 buah rumah melalui Program Rumah Mesra SMJ tahun depan di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
“Rumah SMJ ini dilaksanakan bagi membantu rakyat yang menghadapi kesusahan dan memerlukan rumah kediaman,” katanya.
— Tamat