SEPERTI bendera yang berkibar-kibar, demikian kehangatan semangat Parti Bersatu Sabah (PBS) yang tinggi berkobar-kobar, ketika bersidang di Hongkod Koisaan, Penampang, kelmarin.
Biarpun semboyan pilihan raya belum ditiup lagi, tapi mood persidangan ke-39 parti itu sudah menghantar mesej untuk sedia masuk gelanggang.
Seluruh kekuatan armada parti hadir penuh semangat pada majlis perasmian persidangan yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor, ketika desas-desus mengenai pilihan raya semakin hangat diperkatakan.
Pemangku Presiden PBS Datuk Dr Joachim Gunsalam kini mengatur langkah parti, untuk siap-siaga memasuki gelanggang pilihan raya.
Jumlah kehadiran luar biasa perwakilan dan pemerhati sepanjang persidangan, petanda jelas semangat yang berkobar-kobar itu.
Rata-rata mereka menjulang dan mengibarkan bendera PBS sebagai panji-panji perjuangan.
Kehadiran sosok personaliti politik prolifik Sabah, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selaku pengasas dan pendiri PBS, menyemarakkan lagi semangat ahli parti di semua peringkat yang berkampung di Kota Kinabalu sejak beberapa hari lalu.
Ini kerana kepemimpinan Pairin sejak awal menubuhkan PBS pada 1985, telah mendewasakan parti itu dalam pusaran politik Sabah yang penuh warna-warni. Legasi dan idealismenya kekal sehingga hari ini.
Di awal penubuhannya, sebutan PBS itu sungguh sinonim dan menjadi siulan pejuang-pejuang politik ketika itu kerana terasnya sebagai parti lokal berpasak kukuh kepada semangat kental.
Berbanding banyak parti yang tumbuh dan kemudian berkubur, PBS menunjukkan keutuhannya dalam pasang-surut politik, sekali gus menjadikannya sebagai parti veteran dalam koalisi lapan parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah kini.
Dalam ucapannya, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengakui persidangan PBS kali ini menyerlahkan kedudukan parti itu sebagai antara parti komponen GRS paling kanan yang diyakini berupaya menyumbang idea bernas dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan kerajaan.
Katanya, PBS yang ditubuhkan hampir 40 tahun lalu terus mara mengharungi samudera politik Sabah yang kadang-kala bergelora ,tetapi penuh dengan warna-warni.
Situasi itu menyebabkan Sabah sering menjadi tumpuan penganalisis politik kerana PBS adalah ‘part and parcel of Sabah Politics’ yang sejak dahulu sering menarik perhatian umum.
Hajiji turut menghargai komitmen dan persefahaman semua parti yang bernaung di bawah GRS sebagai sebuah keluarga besar, kerana berkongsi objektif yang sama atas nama negeri dan rakyat Sabah.
Objektif itu membawa Sabah ke arah kesatuan yang jitu, progresif, dinamik, aman dan sentosa, berpaksi konsep memperkukuh kesatuan dalam kepelbagaian.
“Melalui gabungan ini juga, kita menyelami hati budi rakyat dan memperjuangkannya demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.
“Justeru, dalam gabungan ini, perbezaan dan kepelbagaian bukannya batu penghalang untuk kita terus mengorak langkah ke hadapan, sebaliknya ia membentuk sebuah kesatuan demi mencipta perpaduan dan kejayaan,” katanya.
Bagi Hajiji, kepelbagaian yang diwarisi ini adalah kelebihan bersama yang harus dimanfaat dan dipelihara sesama anggota gabungan.
Agenda utama kerajaan GRS-PH Plus ialah komitmen untuk menjaga kepentingan bersama meliputi segenap lapisan masyarakat, secara adil dan saksama, tanpa mengira kelompok majoriti atau minoriti.
Hajiji turut mengakui lumrah perjuangan terutama dalam berpolitik yang sekali-sekala berlaku perbezaan pendapat dan pendekatan berkaitan isu tertentu.
Baginya, semua itu adalah hakikat kehidupan yang menuntut untuk sentiasa berfikiran terbuka, saling memberi dan menerima, meraikan persefahaman dan menggalakkan permuafakatan.
Yang penting, GRS-PH Plus perlu terus melangkah ke hadapan supaya rakyat terus memberi kepercayaan setelah mereka berasakan mendapat pembelaan yang berpatutan.
Dengan demikian, maka akan terciptalah kemakmuran negeri seperi frasa yang sering diungkapkan `tidak mungkin tercapai kesejahteraan, tanpa ada kepercayaan rakyat pada pemimpinnya.’