Site icon Sabah Baru News

Masiung cadang Kerajaan MADANI perkenal insentif ‘Tiket Rahmah’

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah mencadangkan perkara itu memandangkan isu berkenaan boleh menjejaskan integrasi nasional dalam industri pelancongan tempatan.

KOTA KINABALU: Kerajaan MADANI wajar memperkenalkan insentif  ‘Tiket Rahmah’ susulan kenaikan mendadak harga tiket penerbangan bagi laluan domestik Sabah-Sarawak-Labuan- Semenanjung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah mencadangkan perkara itu memandangkan isu berkenaan boleh menjejaskan integrasi nasional dalam industri pelancongan tempatan.

Katanya, kenaikan harga tiket penerbangan disifatkan sebagai menekan rakyat dan pastinya membebankan pelancong domestik yang mahu berkunjung antara tiga wilayah Borneo dan Semenanjung.

“Kenaikan tambang tahap ‘gaban’ ini bukan sahaja merenggangkan hubungan integrasi nasional, malah mendorong rakyat tempatan memilih tambang lebih murah ke negara jiran sebagai destinasi pelancongan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Masiung berkata, minggu lalu sahaja harga tiket penerbangan laluan sehala antara Sabah dan Semenanjung mencecah sehingga RM1,700 berbanding ke Manila, Jakarta dan Singapura sekitar RM550 hingga RM700 sahaja.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu berkata, kenaikan mendadak penerbangan domestik itu bakal menjejaskan industri pelancongan tempatan kerana rakyat lebih tertumpu berbelanja dengan tambang lebih murah bercuti ke luar negara.

Beliau berkata, sudah tentu wang rakyat lebih banyak mengalir ke luar negara sekali gus merugikan industri pelancongan domestik.

“Syarikat penerbangan tempatan mempunyai 1,000 alasan untuk meraih keuntungan kerana mereka tahu tiada cara lain untuk melancong antara Semenanjung dan wilayah Borneo kecuali menaiki pesawat.

“Satu-satunya cara terbaik, kerajaan perlu mewujudkan insentif bagi memperkenalkan ‘Tiket Rahmah’ dengan harga lantai serendah yang mampu untuk rakyat marhaen,” jelasnya.

Dalam pada itu, isu berkenaan turut dibangkitakn oleh Ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak semasa Persidangan Dewan Negara minggu ini termasuk isu gangguan penerbangan tertangguh hingga empat jam.

— Siti Aisyah Narudin

Exit mobile version