Site icon Sabah Baru News

Bantuan RM47 juta kepada sekolah, badan keagamaan bukan Islam

Masidi menyerahkan bantuan tersebut kepada salah seorang penerima di majlis itu

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan bantuan sebanyak RM47 juta kepada sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam di negeri ini bagi tahun 2022.


Menteri Kewangan II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Seri Hj Masidi Manjun memberitahu bahawa dari jumlah tersebut, RM20 juta diperuntukkan bagi sekolah-sekolah yang berkenaan.


Sementara itu, tambah beliau, sebanyak RM27 juta lagi telah diperuntukkan bagi badan-badan keagamaan bukan Islam.


Sumbangan tersebut adalah bagi Zon Pantai Barat Selatan yang merangkumi daerah Tuaran, Kota Belud, Ranau, Penampang, Putatan, Papar dan Pedalaman Bawah iaitu daerah Kimanis, Membakut, Beaufort, Kuala Penyu, Menumbok dan Sipitang.


“Bagi sekolah-sekolah, sejumlah RM3.98 juta telah diluluskan untuk sembilan buah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), RM1.9 juta untuk lapan buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), RM8.1 juta untuk 81 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina [SJK(C)], RM4.1 juta untuk 73 buah Sekolah Rendah/Menengah Kebangsaan (Mission) (SRK/SMK), RM1.1 juta untuk 137 buah tadika dan RM695,000 untuk 18 buah sekolah swasta (Mission).

Masidi bersama para penerima bantuan di majlis itu


“Jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM20,000,000,” jelas beliau.


Masidi berkata, bagi tujuan pembangunan dan pembaikan badan-badan keagamaan bukan Islam, sejumlah RM20.8 juta telah diluluskan untuk gereja-gereja yang melibat 16 buah denominasi gereja-gereja di Sabah, RM5.8 juta untuk 152 buah tokong dan RM400,000 untuk 10 buah Kuil Hindu/Sikh pada tahun ini.


Beliau yang juga Adun Karanaan mengumumkan peruntukan tersebut semasa Majlis Penyerahan Pemberian Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Kepada Sekolah-Sekolah Dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam Tahun 2022 bagi Zon Pantai Barat Selatan dan Pedalaman Bawah yang diadakan di sini pada hari Jumaat.


Masidi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemberian Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Kepada Sekolah-Sekolah dan Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam berkata, semoga dengan bantuan kewangan yang diagihkan atas keprihatinan kerajaan negeri ini, dapat sedikit sebanyak meringankan beban dalam membangun dan membaiki sekolah serta rumah ibadat yang terbabit.


“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa menekankan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek serta sentiasa membantu rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama.


“Saya berharap dengan sumbangan tahunan ini, sekolah dan badan keagamaan bukan Islam akan dapat memenuhi sebahagian daripada keperluan kewangan untuk menampung kos operasi harian, menjalankan program berkaitan serta penambahbaikan institusi dan badan keagamaan masing-masing.


“Semoga sumbangan dan bantuan kewangan oleh kerajaan GRS ini akan memberi manfaat dan memupuk semangat kesaudaraan dalam kalangan pelbagai masyarakat di negeri ini. Ini sekali gus akan memberi keselesaan dan manfaat kepada rakyat bukan Islam di peringkat akar umbi,” jelas beliau.


Masidi berkata, selepas ini pihak jawatankuasa kerajaan negeri melalui jawatankuasa pemberian bantuan kerajaan negeri akan mengadakan majlis penyerahan bantuan kewangan untuk sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan di Zon Tawau, Zon Sandakan, Zon Pedalaman dan Zon Kudat mengikut tarikh-tarikh yang telah ditetapkan.
Sementar itu, kata beliau, institusi pendidikan seperti sekolah amat penting dalam melahirkan modal insan yang berilmu dan berpengetahuan yang akan memacu pembangunan serta kemajuan negeri sebagai mana yang ditekankan dalam pelan pembangunan sabah maju jaya.


Pada masa yang sama, tambah beliau, badan keagamaan memainkan peranan penting dalam memupuk nilai mulia dan positif dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum serta agama di negeri ini.


“Untuk makluman, jawatankuasa Induk Pemberian Bantuan Kerajaan Negeri Bagi Sekolah-Sekolah Dan Badan-Badan Keagamaan yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan telah mengadakan empat kali mesyuarat untuk meneliti setiap permohonan yang diterima daripada pelbagai badan keagamaan bukan Islam dan sekolah-sekolah daripada seluruh Sabah.


“Syabas dan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa yang terlibat kerana telah menunjukkan komitmen yang begitu mantap,” jelas beliau.

wartaoriental

Exit mobile version