APAPUN kemungkinan berlaku berdepan dengan PRN-17 Sabah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) harus kekal dengan pendirian SabahFirst, Rumah Kita, Kita Jaga.
Jika rakan GRS dalam kerajaan GRS-PH Plus, kekal dengan pendirian, bahawa sokongan tamat selepas penggal DUN ke-16 Sabah berakhir, maka, hakikat perlu diterima dengan lapang dada. Kerjasama dan keserasian yang dibina jadikan sebagai rekod dalam lipatan sejarah politik Sabah.
PRN-17 Sabah adalah peluang terbaik rakyat Sabah menjadikan pemimpin negeri yang memimpin parti tempatan pembuat keputusan bagi pihak rakyat negeri dalam konteks politik nasional, seperti mana rakyat Sarawak memberi kepercayaan kepada GPS Sarawak untuk menentukan hala tuju negeri itu dalam konteks Kerajaan Persekutuan.
Pada dasarnya, keputusan GRS meneruskan kerjasama dengan parti yang memimpin kerajaan negeri hari ini atas dasar penghormatan selain mengambikira kedudukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan, namun jika rakan parti berpendirian berbeza, maka, GRS perlu meneruskan langkah sesuai dengan hala tuju parti itu, SabahFirst, SabahForward, SabahProsper dan SabahUnited Demi Sayangi Sabah.
Hakikatnya tiada siapa yang mengetahui secara nyata apa kehendak rakyat Sabah, sepertimana juga kehendak rakyat negara ini pada PRU-14 dan PRU-15, ertinya keputusan di tangan rakyat. Mana-mana parti yang bersesuaian dengan aspirasi dan memenuhi harapan mereka, maka parti itu yang mendapat sokongan.
Pemimpin atau parti hanya memberi ruang kepada rakyat untuk memilih, dan menyedari bahawa kuasa sebenar ditangan rakyat.
Berpandukan pada senario politik Sabah dalam tempoh 4 tahun, mood sebenar rakyat Sabah secara umum berkecenderungan pada parti bercitra lokal, atas sebab itu walaupun Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dilancarkan pada 2 Mac 2023, selepas dua tahun telah menerima keahlian seramai 304,817 satu pencapaian baik bagi sebuah parti dalam masa singkat.
Apabila keahlian komponen GRS dijumlahkan dan kemudiannya digerakkan menjadi jentera semasa pilihan raya dan kemudiannya menjadi “bank votes” maka mempermudah bagi calon-calon menterjemahkan pencalonan masing-masing kepada kerusi.
GRS tidak teruja sangat bertanding 73 kerusi, atas sebab itu membuka ruang pada parti-parti terutama parti rakan kerjasama dalam Kerajaan GRS-PH Plus, dengan persyaratan mudah mengekalkan status quo, tambahan lagi kerjasama itu berbentuk “straight forward”, akan tetapi, jika parti-parti lain merasakan kerjasama itu tidak memenuhi cita rasa politik mereka, maka GRS tiada pilihan melainkan perlu meletakkan calon pada semua kerusi.
Latar belakang politik Sabah cukup dinamik, atas sebab itu telah berlaku perubahan enam kerajaan yang dipimpin parti yang berbeza.
Penulis yakin dan percaya, kecenderungan rakyat Sabah era ini, cukup jelas, iaitu pada parti bercitra lokal.
*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .