Site icon Sabah Baru News

PRN 17 Sabah menjadi makmal politik?

PRN Sabah tahun hadapan menuntut tanggungjawab moral semua pihak untuk menjaga kestabilan politik. Namun tidak boleh dinafikan keinginan rakyat Sabah yang mahu makmal politik ditentukan sendiri oleh mereka.

Bermula tahun hadapan, beberapa siri Pilihan Raya Negeri akan diadakan bermula di Sabah sekitar bulan September/Oktober 2025, diikuti Melaka pada bulan November 2026, kemudian Sarawak pada Disember 2026 dan Johor sekitar bulan Mac 2027 sebelum diadakan PRU16 menjelang November 2027.

Adakah coalition yang wujud diperingkat persekutuan pasca PRU15 perlu dijadikan formula asas dalam mendepani PRN-PRN tersebut?

Apa yang pasti GPS di Sarawak awal-awal lagi menolak kerjasama politik menjelang PRN Negeri Disember 2026 mengambil kira kekuatan semasa gabungan tersebut pada masa kini. Persoalannya adakah PH mahupun BN akan bertanding dalam PRN Sarawak kelak?

Begitu juga di Melaka dan Johor yang mana BN memiliki majoriti besar dalam PRN sebelum ini, adakah akan wujud kerjasama politik antara BN-PH di kedua-dua negeri tersebut?

Sedikit unik di Sabah. BN berulang kali menyatakan komitmen memperkukuh kerajaan perpaduan untuk bekerjasama dengan PH dalam PRN tahun depan. Mungkin inilah yang dimaksudkan makmal politik tersebut.

Ironinya, rakyat Sabah akan menentukan sokongan kepada parti yang dilihat mampu mengangkat aspirasi mereka. Sabah memiliki kerencaman politik yang unik. Naratif Sabah macam Sarawak dilihat semakin memuncak.

Kita tahu dan memahami, PRN Sabah tahun hadapan menuntut tanggungjawab moral semua pihak untuk menjaga kestabilan politik. Namun tidak boleh dinafikan keinginan rakyat Sabah yang mahu makmal politik ditentukan sendiri oleh mereka.

Azrul Bin Ibrahim merupakan Naib Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)

 

Exit mobile version