PAPAR: Sebarang keputusan untuk mana-mana parti yang akan bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN17) akan datang perlu diserahkan sepenuhnya kepada pemimpin di Sabah.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) berkata, tidak wajar bagi pihak luar membuat paksaan dan campur tangan dalam perkara itu.
Ini kerana katanya, tindakan seumpama itu dikhuatiri bakal menimbulkan kesan terhadap sokongan rakyat pada pilihanraya akan datang.
“Bagi saya biarlah orang Sabah, pemimpin Sabah yang memutuskannya (kerjasama), jangan ada pihak luar yang memaksa, menentukan, mencatur siapa bergabung dengan siapa.
“Orang Sabah tidak boleh dipaksa, kita pun tahu dari dulu lagi kalau dipaksa, calon bebas pun boleh menang tanding (pilihanraya), jadi biarlah segala keputusan ditentukan pemimpin kita di Sabah.
“(Apa pun) sebarang gabungan, paling penting bukan hanya menang pilihanraya saja tetapi mewujudkan kerajaan yang stabil dan boleh bekerjasama kerana rakyat sudah memilih,” katanya mengulas isu kerjasama antara GRS dengan parti lain khususnya Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi PRN17 pada Sabtu.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, kestabilan penting bagi mewujudkan pembangunan mapan selain hubungan lebih kondusif di antara kerajaan negeri dan persekutuan.
Katanya, kestabilan juga amat diperlukan bagi menjadikan Sabah lebih membangun dan mempunyai kemampuan ekonomi sendiri tanpa perlu lagi berharap bantuan persekutuan.
“Kita mahu supaya satu hari nanti kita di Sabah ini tidak payah terus meminta dan merayu kepada kerajaan Persekutuan tetapi dengan hasil dan ekonomi yang kuat, kita sendiri ada kekuatan melaksanakan apa-apa projek yang perlu untuk rakyat Sabah.
“Orang Sabah cerita mendambakan Sarawak, saya sudah sebut sebelum ini, kalau kita mahu jadi macam Sarawak, kena ikut cara Sarawak,” tegasnya.
Ketika ditanya kemungkinan GRS akan bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada PRN17 nanti, Armizan menegaskan, mana-mana parti perlu tunjukkan komitmen jika ingin bekerjasama.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, paling penting adalah keikhlasan mahu bekerjasama dari awal tanpa perlu tunggu PRN17.
“Kalau ada mana-mana pihak yang ingin merintis kerjasama dengan GRS, tidak perlu tunggu pilihanraya, mulakan dari sekarang untuk berbincang dan bekerjasama kerana masih ada tempoh setahun lagi pilihanraya.
“Tunjukkan keikhlasan, bukannya hari-hari maki hamun, ‘hentam’ kita. Tiada masalah kalau kritikan itu konstruktif, tetapi bercakap seolah-olah orang-orang ini tidak pernah memegang jawatan dalam kerajaan (atau) tidak pernah ada kuasa (sebelum ini).
“Cerita tentang migrasi..berapa lama sudah orang kita di Sabah yang terpaksa bekerja di Semenanjung, bukan masa GRS saja, malah sejak berpuluh tahun sudah termasuk rakyat dari kawasan orang yang bercakap itu,” katanya.
— Iskandar Dzulkifli