Site icon Sabah Baru News

Belanjawan `luar dugaan’ Sabah 2025 dibentang petang ini

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun telah memberi gambaran tersebut ketika menggulung perbahasan sempena Perhimpunan Agung Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad lalu.

KOTA KINABALU: Belanjawan Sabah 2025 yang bertemakan Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, petang ini.

Pembentangan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, dijadual bermula pada jam 3 petang.

Belanjawan Sabah 2025 menjadi tumpuan berikutan Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) yang semakin hampir yang dijangka tahun depan.

Selain itu, penyebaran dakwaan skandal rasuah yang dikaitkan dengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan, selain turut membabitkan nama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sejak beberapa hari lalu dijangka turut menghangatkan perbahasan belanjawan kali ini.

Masidi sebelum ini menyifatkan belanjawan negeri bagi tahun depan sebagai ‘di luar dugaan’ dan tidak pernah dibuat dalam mana-mana belanjawan negeri sebelum ini.

Gambaran itu disebutnya ketika menggulung perbahasan sempena Perhimpunan Agung Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad lalu.

Masidi yang juga Timbalan Presiden Gagasan Rakyat dilapor berkata, belanjawan tahun depan antara lain akan memastikan rakyat negeri ini, khususnya golongan B40 dapat dibantu untuk menangani tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Saya tidak mahu memberi pengisian lebih lanjut, sebab ini bukan pembentangan. Sekadar saya ingin mengatakan kita (kerajaan) akan memberi sesuatu yang ‘luar dugaan’ yang belum pernah dibuat sebelum ini.

“Ini bagi memastikan ianya dapat membantu golongan B40 mengurangkan tekanan kesan kenaikan barang. Saya tahu banyak lagi bantuan diperlukan rakyat bagi mengekang kos sara hidup melalui bantuan khas daripada kerajaan,” katanya.

Dalam belanjawan tahun ini yang dibentangkan pada 24 November tahun lalu, kerajaan Sabah menyediakan anggaran perbelanjaan sebanyak RM5.701 bilion dengan lebihan RM35.87 juta berbanding anggaran pendapatan RM5.737 bilion.

Belanjawan tahun depan dijangka lebih besar sejajar usaha kerajaan negeri meneruskan program pembangunan yang dirancang, selain melaksanakan program baharu, lebih-lebih lagi menjelang PRN17 yang berkemungkinan diadakan sebelum Oktober 2025.

—  Izwan Abdullah

Exit mobile version