SYARIKAT yang mendapat lesen Penerokaan Lapangan, tetapi kaedah mendapatkan lesen itu ada unsur keraguan, atas sebab itu, apabila dibatalkan, tidak berani menyaman kerajaan.
Individu-individu yang amat terkesan dengan pembatalan lesen, adalah mantan CEO SMM dan ketua kartel (pemberi maklumat) atas desakan pelabur yang telah mengeluarkan perbelanjaan untuk kos operasi.
Dalam kes Ranau misalnya, mantan CEO tersebut terpaksa bersetuju dengan keputusan kerajaan membatalkan lesen yang diberikan, apabila wakil rakyat kawasan itu, menjadi orang di hadapan mendesak kerajaan membatalkan lesen. Apa maknanya? Syarikat yang mendapat lesen tersebut, di luar pengetahuan wakil rakyat berkenaan, sedangkan amalan kerajaan negeri, mana-mana lesen syarikat yang beroperasi di kawasan yang diwakili ADUN tertentu, akan maklum, kerana proses permohonan menerusi Pejabat Daerah, yang mana ADUN sebahagian korum dalam mesyuarat, apabila membabitkan isu-isu tanah.
Ekoran kes Ranau, maka kerajaan Negeri, mengkaji lesen-lesen yang dikeluarkan, ternyata menerusi dapatan kerajaan, kebanyakan lesen mengarah kepada seorang individu, yang mana syarikat yang dikawal peniaga tersebut, dikoordinasi secara dalaman oleh mantan CEO SMM tersebut. Makna kata, mantan CEO tersebut sebahagian daripada kartel.
Apabila lesen-lesen yang dikeluarkan diperolehi dengan kaedah “dubious” maka kerajaan membatalkan lesen-lesen tersebut. Kesan pembatalan itu, mantan CEO itu, ke sana kemari, menjual cerita versi pihaknya, dan mendapat sambutan daripada pemimpin politik tertentu, yang juga menaruh dendam pada kerajaan, kerana gagal menerusi Langkah Kinabalu.
Maka dirangka modus operandi, berunsur ugutan, kerana menggunakan undang-undang, mereka tahu, tiada locus standi.
Untuk menjayakan rancangan tersebut, modus operandi, adalah menerusi rakaman video dengan menggunakan skrip yang direka, dengan penekanan membabitkan wang dan projek.
Sasaran rakaman, sebanyak mungkin wakil rakyat penyokong kerajaan, dengan kaedah berjumpa dengan wakil-wakil rakyat tersebut, dan berbual biasa seperti perbualan kedai kopi, tetapi berpandukan pada skrip yang disediakan.
Menerusi rakaman, maka disunting sedemikian rupa, agar kedengaran ada elemen rasuah, ada elemen salah guna kuasa. Oleh kerana rakaman-rakaman tersebut tidak menyebabkan Ketua Menteri tunduk, maka mereka membayar malaysiakini untuk mendedahkan rakaman video-video tersebut, dan pada 9 Oktober, malaysiakini memulakan dengan laporan teka teki terlebih dahulu, dan kini berlanjutan, menyiarkan rakaman-rakaman tersebut.
Tujuan siaran-siaran tersebut untuk memenuhi urusniaga dengan “so called” pemberi maklumat, untuk mencipta persepsi buruk pada kerajaan, dan kedua bermaksud pembunuhan karakter.
Mereka yang “so called” pemberi maklumat tidak berani membuat LAPORAN terus pada SPRM atau PDRM, kerana berbuat demikian, mereka tahu akan menggali kubur sendiri, atas sebab, akan terdedah salah laku sebenar mereka, iaitu menipu dan memalsu.
Apabila peguam yang mereka lantik berjumpa SPRM, mendesak SPRM mengeluarkan SURAT JAMINAN, perlindungan, supaya anak guam tidak disiasat dan diambil tindakan. Jelas, surat jaminan itu perlu, kerana mereka tahu, menipu, memalsu boleh dihukum penjara.
Habuan ‘so called” pemberi maklumat dan salah seorang telah mendedahkan diri, iaitu mantan CEO SMM, Jonith Enggihon, apabila kerajaan tumbang, lesen-lesen syarikat yang dibatal akan diberikan semula, manakala mantan CEO tersebut kembali sebagai CEO.
Di kalangan rakyat, ada yang terperdaya dengan kandungan video-video tersebut, atas sebab itu, SPRM dan PDRM walaupun agensi bebas, ada tanggungjawab moral untuk memperbetulkan keadaan, dengan menyiasat “so called” pemberi maklumat dan mantan CEO SMM, untuk membongkar mulslihat dan mendedahkan dalang rakaman video-video tersebut.
Adalah malang, jika ada rakyat terpengaruh dan terpesong dengan perbuatan individu-individu yang cuba mengaut dan merompak hasil negeri.
*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .