Site icon Sabah Baru News

Belanjawan Sabah 2025 khabar gembira buat rakyat: Dayang

Dayang Nur Aqilah merupakan Exco Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat). Beliau juga merupakan Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Petagas.

KOTA KINABALU: Belanjawan Sabah 2025 yang dibentangkan Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun pada petang Jumaat lalu merupakan satu khabar gembira buat rakyat, kata Exco Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Dayang Nur Aqilah Hazmi.

Ini kerana katanya intipati belanjawan itu banyak memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat khususnya golongan belia, warga emas, rentan dan orang kelainan upaya (OKU).

Menerusi Belanjawan Sabah 2025, Dayang berkata, kerajaan memperuntukan RM358.5 juta untuk Program Sentuhan Kasih Rakyat dalam usaha mengurangkan beban golongan miskin dan miskin tegar ekoran kos sara hidup tinggi selain memberi ruang kepada mereka untuk menyesuaikan diri serta mencari ikhtiar lain dalam menambah pendapatan.

“Golongan yang dikenal pasti tentunya akan menikmati bantuan melalui program itu sebanyak RM300 sebulan selama setahun dan sudah pasti insentif ini dapat mengurangkan beban mereka.

“Mungkin nilainya tidak seberapa jika dibandingkan dengan golongan berkemampuan, akan tetapi kepada golongan sasar ia sudah pasti dapat meringankan beban mereka lebih-lebih lagi rakyat memerlukan dalam kategori miskin dan miskin tegar, ” katanya.

Dayang yang juga Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Petagas turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sabah kerana memperkenalkan program itu dan berharap ia dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat sekaligus membasmi kemiskinan.

Beliau berkeyakinan Belanjawan Sabah 2025 oleh Kerajaan Negeri adalah hasil kestabilan politik, sesuai dengan matlamat ‘Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera’ yang memfokuskan terhadap kesejahteraan masyarakat.

Dayang berkata belanjawan ini juga satu kejayaan kepada Kerajaan Sabah kerana sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan sekaligus membuktikan kerajaan yang ada pada hari ini sungguh prihatin.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan Kerajaan Sabah khususnya Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kerana bukan sahaja peka terhadap keperluan rakyat tetapi juga aspek-aspek lain demi kemajuan Sabah.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version