Site icon Sabah Baru News

Belanjawan Sabah 2025 ‘luar biasa’, merangkumi pelbagai insentif bermanfaat: Mohd Shahril

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) .

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin menyifatkan Belanjawan Sabah 2025 sebagai satu belanjawan yang cukup ‘luar biasa’ kerana merangkumi pelbagai insentif yang cukup bermanfaat untuk rakyat.

Ini kerana katanya, belanjawan yang dibentangkan itu lebih ke arah kemakmuran sesuai dengan temanya, ‘Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera’ yang mana kerajaan tekad untuk membasmi kemiskinan dengan melaksanakan pelbagai insentif bagi membantu golongan sasar agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan terutama sekali dari aspek taraf hidup, kebajikan dan juga ekonomi.

Hasil kerjasama politik yang stabil, kerajaan telah merangka banyak program berimpak tinggi dengan harapan ia dapat menyumbang ke arah Sabah yang lebih maju dan mampan serta secara tidak langsung mengangkat kualiti hidup semua lapisan rakyat.

“Dengan matlamat untuk memastikan golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan, kerajaan menyediakan peruntukan RM358.5 juta bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat dalam kategori itu sebanyak RM300 sebulan selama setahun melalui Program Sentuhan Kasih Rakyat.

“Jumlah itu sudah pasti dapat mengurangkan sedikit beban mereka akibat kos sara hidup yang tinggi memandangkan golongan itu tidak mempunyai pendapatan yang tetap namun berdepan dengan kenaikan harga barangan, ” katanya.

Mohd Shahril turut menyambut baik insentif dalam bentuk bantuan secara ‘one-off’ yang diberikan kepada peniaga kecil tepi jalan sebanyak RM5,000 yang dilihat dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan masing-masing bagi membolehkan mereka menjana lebih banyak pendapatan.

“Suntikan itu bukan sahaja satu ‘sentuhan’ yang cukup prihatin oleh Kerajaan Negeri tetapi juga menjadi pendorong kepada peniaga untuk memajukan perniagaan bagi menarik lebih ramai pelanggan.

“Saya yakin dan percaya setiap program yang dilaksanakan itu akan memberi kesan yang cukup positif yang secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih rancak dan berdaya saing, ” katanya.

Walaupun belanjawan kali ini kearah kesejahteraan rakyat, Kerajaan Negeri juga tidak melupakan kakitangan awam negeri yang banyak menyumbang menjayakan program dan agenda kerajaan kerana mereka merupakan nadi utama jentera dan pentadbir perkhidmatan kerajaan.

“Lihatlah betapa prihatinnya kerajaan kerana bukan sahaja semua anggota Perkhidmatan Awam Negeri Sabah akan mendapat Bayaran Bantuan Khas Kewangan tetapi juga kakitangan yang berstatus Kontrak, Vot Terbuka dan Pekerja Sambilan Harian.

“Dianggarkan hampir 19,000 kakitangan awam negeri akan mendapat Bantuan Khas Kewangan itu sebanyak sebulan gaji atau minimum RM3,000 yang akan dibayar pada Januari 2025.

“Mudahan Bantuan Khas Kewangan ini akan memberi suntikan semangat kepada kakitangan awam negeri untuk terus memberikan perkhidmatan yang lebih baik sekaligus membantu kerajaan menjayakan program dan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Sabah, ” katanya.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version